Kajian Terperinci Perlu Dibuat Sebelum Laksana Caj Kesesakan Ibu Kota

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Armand Azha Abu Hanifah memohon Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa mengkaji pelaksanaan caj kesesakan ibu kota sedalam-dalamnya sebelum membuat sebarang keputusan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang menjelaskan pihak terbabit perlu membuat sesi libat urus bersama semua yang terlibat dalam mendapat maklumat yang jelas daripada pelbagai sudut.

“Pihak menteri harus kaji apa langkah-langkah sistem pengurusan trafik pintar dengan menggunakan sistem maklumat ‘Artificial Intelligence’ (AI) bagi perancangan jalan yang lebih efisien, dalam mengurangan masalah utama iaitu kesesakan lalu lintas.

“Jangan hanya lihat peningkatan jumlah kenderaan yang ada, tetapi perlu juga lihat mengapa dan bagaimana nak pertingkatkan pengangkutan alternatif buat rakyat.

“Jika kita amati situasi kini sistem pengangkutan awam kita masih belum efisien, tidak konsisten dan masih belum mendapat penggunaan maksimum kerana sebab-sebab tertentu yang perlu diperhalusi,” katanya.

Mengulas lanjut, Armand menggesa kerajaan agar tidak membebankan rakyat dengan kos tambahan dalam kehidupan seharian, terutamanya mereka yang tinggal di ibu kota.

“Janganlah membebankan rakyat dengan kos tambahan dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia. Pihak kerajaan cari solusi yang lebih baik untuk rakyat malaysia khususnya rakyat ibu kota.

“Rakyat harus diberikan keutamaan dalam isu ini dan perbandingan yang dibuat mengenai negara-negara maju di Eropah bagi saya bagus, tetapi ia perlu dalam konteks acuan negara yang masih ada kelemahan terutama mengenai pengangkutan awam,” katanya lagi.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menyatakan pelaksanaan caj kesesakan di Kuala Lumpur dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama di daerah pusat perniagaan (CBD) sehingga 20 peratus dibuat berdasarkan pelaksanaan caj kesesakan di bandar antarabangsa.

Hasil kajian dilakukan kerajaan mendapati selain Kuala Lumpur, dua lagi bandar raya di Malaysia yang berpotensi untuk pelaksanaan caj kesesakan adalah Georgetown dan Johor Bahru. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit