Situasi Banjir Di Malaysia Timur Semakin Pulih Tetapi Perlu Terus Waspada – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 9 Feb – Meskipun situasi banjir di Malaysia Timur semakin pulih, semua pihak perlulah sentiasa terus berwaspada, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, rata-rata daerah di Sarawak telah menunjukkan angka penurunan banjir kecuali Beluru.

“Setelah hampir dua minggu beberapa bahagian di Sabah dan Sarawak dilanda bencana banjir yang agak teruk, Alhamdulillah trend semasa menunjukkan keadaan sudah semakin baik serta pulih.

“Di Sarawak, rata-rata daerah sudah menunjukkan angka penurunan mangsa banjir kecuali di daerah Beluru yang berlaku peningkatan mangsa. Setakat laporan pada jam 12.00 tengah hari ini, hanya terdapat 1,970 keluarga melibatkan 6,269 mangsa yang masih berlindung di 28 buah pusat pemindahan sementera (PPS) berbanding 9,296 mangsa melibatkan 2,742 keluarga pada minggu lalu.

“Di bahagian Bintulu, mangsa banjir mencatatkan mangsa tertinggi iaitu 3,011 orang yang berlindung di empat buah PPS. Manakala di Sabah, terdapat empat daerah yang masih dilanda banjir setakat tengah hari ini melibatkan 298 keluarga dan 963 mangsa yang berlindung di enam buah PPS.

“Walau bagaimanapun, terdapat satu PPS yang dibuka pada pagi ini bagi menempatkan 53 buah keluarga melibatkan 160 mangsa di daerah Membakut berbanding hanya tiga daerah (Beaufort, Kinabatangan dan Tambunan) setakat semalam,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, terdapat kemungkinan untuk luruan yang membawa hujan lebat masih ada kerana Monsun Timur Laut dijangka tamat pada bulan Mac.

“Walaupun situasi kelihatan sudah reda, saya ingin mengingatkan semua pihak bahawa kemungkinan untuk luruan yang membawa hujan lebat masih ada kerana Monsun Timur Laut dijangkakan akan tamat pada bulan Mac.

“Jabatan Meteorologi (METMalaysia) pada pukul 11.45 pagi ini mengeluarkan amaran ribut petir di beberapa tempat di Sarawak iaitu di Betong, Sarikei, Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah, Bintulu, Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang yang dijangka sehingga 3.00 petang ini. Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan peka dengan keadaan ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berharap agar pihak NADMA akan terus menyusun atur gerak kerja-kerja pasca dan pembaikan dengan pelbagai agensi kerajaan yang terlibat.

“Saya berpuas hati dengan keseluruhan pengurusan bencana di Malaysia Timur setakat ini dan mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada badan-badan korporat serta para NGO, Rakan NADMA serta komuniti setempat yang bertungkus lumus membantu mangsa banjir serta menghulurkan bantuan dan sumbangan dalam pelbagai bentuk bagi meringankan beban mangsa.

“Saya berharap pihak NADMA akan terus menyusun atur gerak kerja-kerja pasca dan pembaikan dengan pelbagai agensi Kerajaan yang terlibat bagi mempercepatkan pemulihan terutamanya infrastruktur di kawasan yang terjejas. Ini bagi memastikan keadaan kerosakan yang terjadi akibat banjir tersebut tidak mengancam keselamatan dan memberi gangguan kepada penduduk dalam tempoh yang lama.

“Untuk mengetahui laporan terkini dan sahih berkaitan bencana, orang ramai boleh layari www.portalbencana.nadma.gov.my,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit