Mohamed Khaled Bertemu Pemimpin UMNO Muar, Bincang Strategi Peringkat Bahagian
KUALA LUMPUR, 9 Feb – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah bertemu dengan para pemimpin UMNO Bahagian Muar untuk mengadakan perbincangan mengenai strategi di peringkat bahagian.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memaklumkan bahawa ia turut melibatkan perancangan untuk menangani cabaran politik yang kian mencabar.
“Berpeluang mengadakan pertemuan dengan pimpinan UMNO Bahagian Muar, pada Sabtu. Terima kasih kepada Ketua UMNO Bahagian, Datuk Ashari Md Sarip dan seluruh kepimpinan Bahagian yang menerima baik kehadiran saya di Muar.
“Pertemuan ini memberi ruang kepada saya untuk mengadakan perbincangan dan berkongsi beberapa perkara dan pandangan, antaranya dalam soal strategi dan pendekatan dalam menangani cabaran di peringkat UMNO Bahagian,” katanya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang menasihatkan bahawa UMNO di peringkat bahagian perlu terus membina kekuatan dan mendekati para pengundi di kawasan.
“Kepimpinan UMNO Bahagian diingatkan akan keutamaan kepada rakyat. UMNO di peringkat bahagian perlu terus membina kekuatan, memastikan kerjasama yang erat, di samping mengambil pendekatan terbaik dalam memenangi hati pengundi.
“Paling utama, UMNO Bahagian perlu memastikan ‘keterlihatan’ dan ‘kedengarannya’ dalam kalangan masyarakat. Saya percaya, melalui usaha yang berterusan, UMNO berupaya menjadi pilihan utama rakyat, termasuklah di Muar,” katanya lagi. – UMNO Online