Asyraf Wajdi Ke Lipis, Teruskan Siri Jelajah Bahagian-Bahagian UMNO

KUALA LUMPUR, 9 Feb – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah ke UMNO Bahagian Lipis untuk meneruskan Siri Jelajah Bahagian-Bahagian UMNO di seluruh negara pada Sabtu.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memaklumkan bahawa Lipis merupakan bahagian ke-69 untuk siri jelajah tersebut.

“Alhamdulillah, saya berkesempatan untuk bersama keluarga besar UMNO Bahagian Lipis dalam Sesi Pencerahan Isu Semasa yang berlangsung di Dewan Datuk Omar Othman, Wisma UMNO Lipis, Pahang.

“Lipis menjadi bahagian yang ke-69 dalam siri jelajah saya ke bahagian-bahagian UMNO di seluruh negara. Setiap pertemuan dengan akar umbi amat bermakna bukan sahaja untuk merungkai persoalan yang berlegar dalam kalangan ahli tetapi juga sebagai platform bertukar pandangan dan memperkukuh hala tuju perjuangan parti.

“Sesi pagi ini berlangsung dalam suasana penuh keterbukaan dan interaksi membina dengan menerima soalan serta pendapat yang amat baik daripada akar umbi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar para pendukung UMNO terus istiqamah dalam meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan negara.

“Terima kasih kepada Datuk Abdul Rahman Mohamad, Ketua UMNO Bahagian Lipis merangkap Timbalan Menteri Sumber Manusia dan seluruh kepimpinan UMNO Lipis atas sambutan serta undangan.

“Semoga perjuangan ini terus diberkati dan kita kekal istiqamah dalam mempertahankan parti keramat UMNO ini demi agama, bangsa, dan negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit