UMNO Kalabakan Komited Mendekati Masyarakat, Depani PRN Sabah Ke-17
KALABAKAN, 27 Jan – Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop menegaskan komitmen parti untuk terus mendekati masyarakat dalam usaha memastikan UMNO kekal menjadi pilihan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang akan diadakan tahun ini.
Menurut beliau, perkara tersebut menjadi antara agenda utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian P.191 Kalabakan, yang berlangsung baru-baru ini.
Maklumnya, mesyuarat tersebut turut memberi tumpuan kepada isu-isu semasa politik di peringkat Persekutuan, Negeri Sabah, dan Bahagian Kalabakan.
“Pelbagai perancangan strategik telah dibincangkan, termasuk pendekatan terbaik untuk mendekati rakyat secara lebih efektif. UMNO Kalabakan komited untuk bekerja keras dalam memperkukuhkan kepercayaan masyarakat terhadap parti ini,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama seluruh ahli dan jentera parti dalam menghadapi cabaran politik masa kini serta memastikan setiap gerak kerja yang dilaksanakan dapat memenuhi keperluan dan aspirasi rakyat.
“UMNO adalah sebuah parti keramat yang sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan. Oleh itu, kita akan terus turun padang untuk memahami isu dan kebajikan yang dihadapi oleh masyarakat setempat,” tambah beliau.
Mesyuarat itu juga membincangkan pelbagai isu lain yang relevan dalam memastikan persiapan rapi menjelang PRN Sabah 17, termasuk memperkukuhkan sokongan akar umbi dan melibatkan golongan muda dalam agenda parti.
Ujarnya, UMNO Kalabakan berharap agar usaha berterusan ini akan membuahkan hasil, sekali gus mengekalkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan parti. – UMNO Online