Sekolah Patriotik UMNO Langkah Strategik Pastikan Parti Terus Relevan – Mohd Zaidy
JEMPOL, 27 Jan – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menyambut baik pelancaran Sekolah Patriotik UMNO yang disempurnakan oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam.
Mohd Zaidy mengakui bahawa pelaksanaan Sekolah Patriotik UMNO ini merupakan satu langkah strategik untuk memastikan UMNO terus relevan dalam landskap politik negara.
Beliau menyifatkan inisiatif ini sebagai platform penting untuk membuka ruang seluas-luasnya kepada generasi muda bagi bersedia menghadapi dinamika politik semasa dengan teras perjuangan UMNO sebagai wadah utama.
“Sekolah Patriotik UMNO menjadi ruang bagi parti untuk membentuk generasi baharu yang memiliki kesungguhan, disiplin, dan semangat perjuangan tinggi dengan terasnya adalah agama, bangsa dan negara.
“Pesertanya akan dapat menyumbangkan idea, berdiskusi secara terbuka, serta menjalani latihan kepimpinan yang bertujuan memperkasa keupayaan sebagai pemimpin masa hadapan kerana mereka inilah yang akan menjadi tulang belakang kepada kebangkitan UMNO serta menentukan masa depan parti dalam arena pembangunan holistik,” katanya kepada UMNO Online.
Dilaporkan, Sekolah Patriotik UMNO kumpulan pertama melibatkan seramai 50 perintis yang telah dipilih untuk mengikuti program ini dilatih melibatkan modul-modul latihan merangkumi aspek pemikiran kritis, kepimpinan strategik, dan pemahaman mendalam terhadap perjuangan UMNO.
Sehubungan itu Mohd Zaidy menyatakan keyakinannya bahawa melalui program-program latihan dan wacana yang dianjurkan, ia akan dapat menyemai nilai patriotisme dan memahami perjuangan UMNO yang berpaksikan kepada jati diri dan kecintaan kepada agama, bangsa, dan tanah air.
“Kita mahu mereka ini menjadi agen perubahan yang berpegang kepada prinsip perjuangan UMNO serta dapat memastikan parti kekal meneruskan khidmat dan pembela rakyat, khususnya dalam mendepani cabaran-cabaran baharu.”
Menurutnya, usaha ini bukan sahaja akan memperkukuh kedudukan UMNO, malah membantu parti bergerak seiring dengan kehendak generasi baharu yang lebih dinamik dan progresif.
“Saya yakin Sekolah Patriotik UMNO akan menjadi suntikan baharu kepada kebangkitan generasi muda dan membawa parti ini kembali menjadi dominan dalam negara.
“Dengan komitmen yang diberikan oleh kepimpinan parti dan sokongan padu daripada akar umbi, Sekolah Patriotik UMNO tentunya mampu mencetuskan perubahan positif serta melahirkan pemimpin masa depan yang berdaya saing dan berintegriti tinggi,” katanya lagi. – UMNO Online