Program Sentuhan Kasih Sempena Tahun Baharu Cina 2025 Akrabkan Penduduk Labuan
LABUAN, 27 Jan – Menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, telah merasmikan Program Sentuhan Kasih 2025 yang dianjurkan oleh Jabatan KEMAS Wilayah Persekutuan Labuan di Kampung Sungai Keling, baru-baru ini.
Program tersebut, yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan perpaduan masyarakat, telah menerima sambutan meriah daripada penduduk tempatan, khususnya kaum Tionghoa.
Mohd Rafi menyatakan rasa terharunya terhadap sokongan dan keceriaan yang ditunjukkan oleh para hadirin.
Beliau turut menegaskan pentingnya perpaduan dalam kalangan rakyat Labuan, sambil menyatakan bahawa keharmonian dan kesepaduan pelbagai kaum adalah asas penting dalam membina sebuah negara yang maju.
“Kehadiran ramai penduduk setempat mencerminkan keharmonian dan semangat muhibah yang telah lama terjalin di Wilayah Persekutuan Labuan.
“Sambutan Tahun Baharu Cina ini adalah bukti bahawa Labuan terus menjadi contoh perpaduan kaum di Malaysia. Kita perlu terus menjaga keharmonian yang telah terjalin selama ini,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pegawai Jabatan KEMAS Labuan, Gilbert Julian dan Ketua Kampung Sungai Keling, Goh Siew Ling atas komitmen mereka dalam memastikan kebajikan penduduk kampung sentiasa terpelihara.
“Inilah bukti keprihatinan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sentiasa menekankan perpaduan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.”
Program ini diisi dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan kebudayaan, jamuan bersama, dan penyampaian sumbangan kepada komuniti setempat dengan penuh semangat muhibah menandakan permulaan tahun baharu yang harmoni untuk semua lapisan masyarakat di Labuan. – UMNO Online