Ahmad Zahid Yakin Malaysia-Indonesia Kukuhkan Persahabatan Demi Kesejahteraan Serantau

KUALA LUMPUR, 27 Jan – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia sebagai satu asas penting untuk pembangunan dan kesejahteraan serantau.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya sempena Istiadat Sambutan Negara bagi Lawatan Negara Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto hari ini.

Ujarnya, majlis ini menjadi detik bersejarah kerana ia merupakan lawatan negara pertama oleh ketua negara asing sejak Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menaiki takhta.

“Istiadat ini mencerminkan penghormatan tinggi kepada hubungan diplomatik antara kedua-dua negara yang selama ini menjadi rakan strategik penting dalam pelbagai bidang,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, persahabatan yang terjalin ini akan terus memberi manfaat besar kepada rakyat kedua-dua negara.

“Majlis ini mencerminkan penghormatan tinggi kepada hubungan diplomatik antara kedua-dua negara yang selama ini menjadi rakan strategik penting dalam pelbagai bidang.

“Saya yakin persahabatan yang terjalin ini akan terus memberi manfaat besar kepada rakyat Malaysia dan Indonesia, selaras dengan visi bersama untuk pembangunan dan kesejahteraan serantau,” katanya lagi.

Prabowo diberikan sambutan negara penuh istiadat di Istana Negara hari ini bersempena lawatan negara atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Ketibaan Prabowo pada 10 pagi, disambut Seri Paduka Baginda dengan disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, serta menteri Kabinet.

Wisma Putra dalam kenyataan semalam memaklumkan lawatan ini adalah lawatan negara pertama oleh seorang ketua negara asing ke Malaysia, selepas pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Ia juga lawatan negara pertama oleh Prabowo ke negara Asia Tenggara sejak pelantikannya sebagai Presiden Indonesia pada 20 Okt 2024. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit