Sokong Penuh Sekolah Patriotik UMNO, Platform Lahirkan Pemimpin Berwibawa – Azalina
KUALA LUMPUR, 26 Jan – Penerangan UMNO Malaysia akan memberikan sokongan penuh kepada Sekolah Patriotik UMNO yang dilancarkan hari ini dan bersedia untuk menyumbangkan usaha, tenaga serta kepakaran bagi memastikan ia mencapai matlamat yang diharapkan.
Ketuanya, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Sekolah Patriotik UMNO Malaysia diperkenalkan sebagai platform ‘teaching factory’ untuk membentuk pemimpin yang bukan sahaja kompeten, tetapi bersemangat memperjuangkan agama, bangsa, dan negara.
Katanya, dengan slogan ‘Bestari, Berani, Berjuang’, ia mencerminkan komitmen UMNO dalam melahirkan pemimpin yang setia kepada perjuangan parti.
“Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada semua peserta kumpulan pertama ini. Semoga mereka menjadi patriot yang mampu mengharumkan nama UMNO dan membawa parti ini kembali ke puncak kejayaan,” katanya dalam satu kenyataan selepas turut sama menghadiri Majlis Pelancaran Sekolah Patriotik UMNO dan Kuliyyah Perdana, hari ini.
Pelancaran ini telah disempurnakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Auditorium UMNO, Menara Dato’ Onn selepas ia dipelopori oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dengan penyertaan 50 pelajar terpilih yang akan menjalani latihan selama 12 minggu.
Ujar Azalina yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, pelancarkan Sekolah Patriotik UMNO Malaysia ini adalah satu inisiatif penting bagi melahirkan pemimpin generasi baharu yang berwibawa.
Terdahulu, dalam ucapan perasmian yang diangkat sebagai Kuliah Perdana, Presiden UMNO menekankan cabaran besar untuk mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap UMNO.
Beliau menegaskan bahawa UMNO perlu kembali kepada asas perjuangannya untuk memastikan kelangsungan dan kejayaan parti. Beliau juga menggariskan tiga elemen penting – daya tahan, daya juang, dan daya saing – yang perlu dimiliki oleh setiap ahli UMNO untuk membawa parti ke arah dominasi semula. – UMNO Online