Syed Hussien Seru Umat Islam Sertai Semarak Subuh DUN Mahkota

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah mengajak umat Islam di kawasan sekitar untuk menyertai Semarak Subuh DUN Mahkota.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan ia akan diadakan di Masjid Jamek Kampung Tengah pada 17 Januari manakala di Surau Al-Istiqamah Kampung Tengah Dalam pada 18 Januari.

Penganjuran Semarah Subuh ini bagi mengimarahkan masjid dan surau di samping mengeratkan hubungan dengan ALLAH SWT dan sesama muslim.

Antara pengisian yang akan dilaksanakan ialah solat subuh secara berjemaah dan sesi tazkirah oleh penceramah.

Inisiatif ini diadakan bagi menyahut saranan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang berharap program seumpama ini diadakan pada setiap subuh Jumaat itu dapat dilaksanakan secara berterusan di seluruh negeri ini.

Sementara itu, Syed Hussien menerusi hantaran berbeza turut sama berkongsi program kemasyarakatan yang disertainya bagi menyantuni masyarakat sekitar.

Antaranya kehadiran beliau ke Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Syed Zain Al-Shahab bagi merasmikan program Majlis Anugerah Kecemerlangan sekolah tersebut untuk tahun 2024.

Menyifatkan ia suasana yang cukup meriah beliau turut sama merakamkan ucapan tahniah kepada semua pelajar yang telah menerima anugerah.

“Kepada yang tidak menerima, jangan bersedih teruskanlah lagi usaha anda untuk tahun akan datang.

“Tahniah juga kepada semua guru SK Dato’ Syed Zain Al-Shahab atas kejayaan menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan dengan jayanya,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit