Inisiatif Berterusan Turun Padang Lihat Secara Dekat Perkhidmatan Untuk Rakyat – Ab Rauf

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Dalam usaha melihat secara lebih dekat sistem perkhidmatan selain pelbagai kemudahan infra kesihatan untuk rakyat di Negeri Melaka, Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengambil inisiatif turun padang untuk melihat dengan lebih dekat perkembangan yang berlaku.

Menerusi perkongsian di Facebooknya, beliau berkata usaha berkenaan merupakan salah satu inisiatif untuk melihat dan mendengar sendiri segala pandangan yang diutarakan oleh kakitangan awam yang terlibat bagi meningkatkan lagi segala keperluan untuk masyarakat setempat.

“Pagi ini saya sengaja ‘terjah’ di Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru bagi meninjau sistem perkhidmatan dan kemudahan yang terdapat di klinik kerajaan ini. Ketibaan saya disambut oleh, Dr. Sharifah Karimah Syed Mohamad, Doktor Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru.

“Saya mengambil maklum pandangan dikemukakan oleh doktor, jururawat serta petugas kesihatan berhubung keperluan untuk menambah baik sistem pendingin hawa di wad pergigian, selain melihat adanya keperluan untuk kemudahan lif di bangunan klinik kesihatan ini,” katanya.

Kata beliau lagi menerusi inisiatif berkenaan juga, masyarakat setempat dapat disantuni dan saling bertanya khabar mengenai keadaan masing-masing sekaligus dapat mengeratkan hubungan yang sedia terjalin.

“Sempat juga saya menyantuni rakyat Melaka sambil bertanyakan rawatan yang diterima mereka di klinik kerajaan ini. Rakyat Malaysia patut bersyukur dengan kemudahan dan perkhidmatan murah ditawarkan di klinik kerajaan,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit