Banjir Semakin Pulih… Ahmad Zahid Seru Rakyat Kekal Berwaspada
KUALA LUMPUR, 2 Dis – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru rakyat untuk kekal berwaspada meskipun keadaan banjir di negeri yang terlibat semakin pulih.
Beliau yang juga Presiden UMNO menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, setakat jam 1.00 tengahari tadi, jumlah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang beroperasi telah menunjukkan tren penurunan sebanyak 13.69 peratus.
“Alhamdulillah, situasi banjir di seluruh negara kini menunjukkan tanda-tanda pemulihan. Jumlah PPS yang beroperasi setakat jam 1.00 petang tadi telah menunjukkan tren penurunan sebanyak 13.69 peratus dengan hanya 561 PPS masih dibuka manakala jumlah keluarga terjejas akibat banjir juga telah berkurang sebanyak 8.7 peratus, melibatkan seramai 37,759 keluarga.
“Di Kelantan, sebanyak 217 PPS masih beroperasi, menurun sebanyak 11.07 peratus, manakala jumlah keluarga yang terkesan turut berkurang sebanyak 9.57 peratus kepada 24,238 keluarga.
“Situasi di Terengganu juga semakin baik, dengan jumlah PPS menurun sebanyak 16.25 peratus kepada 237 dan jumlah keluarga terjejas berkurang sebanyak 6.14 peratus kepada 9,990,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut menasihatkan mangsa banjir yang terkesan untuk mengutamakan keselamatan dan kebersihan diri serta tempat tinggal terutamanya apabila pulang ke kediaman masing-masing.
“Walaupun keadaan ini membawa sedikit kelegaan, saya ingin menasihatkan semua agar terus berhati-hati dan mengutamakan keselamatan. Janganlah bermain atau mendedahkan diri kepada air banjir, walaupun paras air semakin surut.
“Air banjir sering tercemar dan boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan seperti jangkitan kulit, penyakit bawaan air atau gigitan haiwan berbahaya. Selain itu, pastikan kebersihan diri dan kawasan tempat tinggal sentiasa dijaga, terutama selepas kembali ke rumah masing-masing nanti.
“Saya juga ingin mengingatkan agar semua pihak terus mematuhi arahan pihak berkuasa. Bagi yang masih berada di PPS, teruskan bersabar dan berikan kerjasama sebaiknya kepada pasukan penyelamat serta para petugas yang membantu,” katanya lagi. – UMNO Online