Kerjasama Politik BN-PH: Kunci Pembangunan Sabah Yang Lebih Maju

KUALA LUMPUR, 1 Dis – Bekas Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah, Datuk Ir. Abdul Aziz Julkarnain menyokong usaha kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang merupakan strategi penting untuk pembangunan negeri.

Menurut beliau, gabungan erat antara kedua-dua parti ini adalah penting bagi mewujudkan kestabilan politik yang akan memastikan pembangunan berterusan dan kesejahteraan rakyat negeri ini.

“Kerjasama politik yang erat antara BN dan PH bukan sekadar retorik tetapi satu strategi penting untuk memastikan Sabah dapat mencapai tahap pembangunan yang lebih tinggi. Kestabilan politik melalui gabungan ini adalah kunci untuk memastikan kelangsungan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

“Melalui kestabilan politik ini akan dapat mempercepatkan projek pembangunan, membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan mengurangkan kadar kemiskinan yang masih membelenggu sebahagian besar penduduk Sabah,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz menafikan khabar angin yang kononnya ada pihak tertentu yang mahu menggulingkan Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan dakwaan tersebut hanyalah propaganda murahan yang dimainkan oleh pihak lawan.

“Kononnya terdapat pihak yang ingin menggulingkan Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Pengerusi UMNO Sabah hanyalah propaganda murahan yang dimainkan oleh pihak lawan. Tujuannya jelas untuk melemahkan UMNO Sabah, terutamanya apabila PRN ke-17 yang semakin hampir.

“Ini adalah lumrah dalam politik dan setiap pemimpin utama mana-mana parti akan menjadi sasaran serangan. Namun, sebagai pejuang politik perlu abaikan gangguan ini. Sebagai sebuah parti yang berpengalaman dan berprinsip, kita akan terus fokus kepada perjuangan untuk rakyat,” katanya lagi.

Pada masa yang sama beliau menyeru kepada semua pihak terutamanya akar umbi UMNO terus teguh dan rapatkan saf perjuangan serta berkerja keras bagi memastikan kemenangan parti pada PRN ke-17.

“Saya menyeru agar semua pihak dalam UMNO Sabah tetap teguh dalam perjuangan, bersatu hati dan terus bekerja keras untuk memastikan PRN ke-17 ini menjadi platform untuk mengukuhkan lagi kedudukan parti dan membuktikan keupayaan kita dalam membela nasib rakyat Sabah.

“Sekali berjuang, terus berjuang… kita akan melangkah dengan yakin dan membawa perubahan yang lebih baik untuk masa depan Sabah yang gemilang,” ujarnya. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit