Lawatan Kerja Ke Korea: Delegasi Malaysia Bertemu Para Diaspora

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Sempena lawatan kerja yang telah dirangka sepanjang tiga hari, delegasi Malaysia telah mengambil peluang untuk bertemu dengan para diaspora Malaysia yang berada di Republik Korea.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan amanat kepada mereka ketika pertemuan tersebut berlangsung.

“Hari pertama di Seoul diakhiri dengan hadir ke Majlis Ramah Mesra YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri bersama diaspora Malaysia di Republik Korea.

“Dalam amanatnya kepada rakyat Malaysia yang berkelana di Republik Korea, Perdana Menteri telah menyentuh tentang peluang yang digapai para diaspora merupakan kesempatan terbaik untuk membawa nama baik negara ke persada dunia,” katanya menerusi hantaran di laman Facbooknya.

Terdahulu, beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO memaklumkan bahawa langkah pertama lawatan kerja ke Korea dengan perbincangan dua hala.

“Alhamdulillah, saya kini berada di Republik Korea bagi mengiringi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri mengadakan lawatan rasmi atas jemputan TYT Yoon Suk Yeol, Presiden Republik Korea.

“Langkah pertama di Republik Korea dimulakan dengan perbincangan dua hala Malaysia-Republik Korea yang diketuai oleh Perdana Menteri.

“Saya kemudiannya mewakili Kerajaan Malaysia untuk menerima pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) yang merangkumi perjanjian Kerjasama Pendidikan Tinggi, Kerjasama Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS) dan Pendekatan Kerjasama di Bawah Artikel 6, Perenggan 2 Perjanjian Paris,” katanya.

Pada Ahad media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba Korea sempena lawatan rasmi tiga hari untuk mengukuhkan lagi hubungan bilateral sedia ada antara Malaysia dengan Korea Selatan.

Malaysia dan Korea Selatan bakal menyambut ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara tahun depan.

Turut bersama dalam lawatan kerja rasmi tersebut adalah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang serta pegawai kanan kerajaan. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit