Khidmat Bakti Jadi Komitmen Berterusan UMNO Untuk Rakyat – Mohd Rafi

LABUAN, 19 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, terus memperlihatkan komitmennya terhadap khidmat bakti kepada masyarakat, khususnya di kawasan-kawasan luar bandar.

Baru-baru ini, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan telah mengunjungi beberapa kampung seperti Kampung Sungai Labu dan Kampung Lajau, untuk meninjau keadaan dan menyalurkan bantuan dalam usaha untuk baik pulih rumah-rumah penduduk yang memerlukan.

Ujarnya, tindakan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan UMNO untuk memastikan rakyat tidak terpinggir dan sentiasa mendapat bantuan yang sewajarnya.

“Suatu kebiasaan kepada UMNO dalam melaksanakan gerak kerja turun padang dan menyantuni masyarakat setempat khususnya dapat membantu dan berusaha menyelesaikan permasalahan yang mereka hadapi. Kadang-kadang, kita rasa bantuan kita itu kecil sahaja, tetapi pada mereka ia sangat besar,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam lawatannya, Mohd Rafi turut mengambil peluang untuk meninjau permohonan projek pembangunan infrastruktur, antaranya menghubungkan jalan baru di Kampung Sungai Manikar, yang telah lama dinantikan oleh penduduk setempat.

Ujarnya, projek ini bertujuan untuk memudahkan akses dan meningkatkan lagi kualiti hidup penduduk kampung tersebut.

“Usaha-usaha ini merupakan salah satu cara untuk memudahkan kehidupan masyarakat di kampung-kampung dan kawasan pedalaman di samping dapat menggalakkan pembangunan ekonomi yang lebih mampan.”

Mohd Rafi menegaskan bahawa khidmat kepada rakyat adalah sesuatu yang sangat penting dan merupakan tunjang utama perjuangan UMNO.

“UMNO terus komited dalam membantu masyarakat dengan menyediakan pelbagai bentuk bantuan, baik dari segi usaha untuk pembangunan infrastruktur, pendidikan, atau kebajikan.

“Sebagai parti yang dekat di hati rakyat, UMNO memahami bahawa kejayaan sebenar terletak pada kemampuan untuk memberi perkhidmatan yang terbaik dan menjaga kebajikan semua lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang.

“Dalam masa yang sama, kita juga sentiasa menekankan kepentingan kerjasama antara pemimpin dan masyarakat untuk memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memberi impak yang positif dan berpanjangan.”

Beliau berharap dengan semangat perjuangan dan keprihatinan seperti ini, UMNO akan dapat terus berbakti kepada rakyat dan memastikan kesejahteraan mereka terjaga.

“Khidmat dan dedikasi UMNO untuk rakyat terus menjadi tunggak kekuatan parti ini, dengan komitmen untuk memperjuangkan nasib masyarakat di setiap peringkat, insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit