Zambry Ucap Takziah Kepada Keluarga Tiga Penuntut UiTM Dungun Yang Meninggal Dunia
KUALA LUMPUR, 10 Okt – Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengucapkan takziah kepada keluarga tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu yang meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Pantai Sura, Dungun, semalam.
Dalam hantaran di akaun Facebooknya, beliau turut mendoakan supaya roh Khairil Anwar Jamaludin, 20, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dan Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama mereka yang beriman.
“Semoga seluruh ahli keluarga tabah dan sabar menempuh ujian ini,” katanya.
Zambry kini berada di St Petersburg, Russia mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri Mesyuarat Ketiga Suruhanjaya Bersama Malaysia-Russia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan.
Mesyuarat turut disertai wakil Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Kementerian Pelancongan, Seni dan Warisan (Motac), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Digital. – BERNAMA