UMNO/BN Terus Cipta Kemenangan… Bukti Masih Relevan, Belum Pupus
KUALA LUMPUR, 10 Okt – UMNO/Barisan Nasional (BN) terus mencipta kemenangan dalam siri-siri pilihan raya, membuktikan bahawa parti ini masih dominan dan belum pupus.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, persediaan perlu dilakukan memandangkan Pilihan Raya Umum (PRU) akan berlangsung dalam tempoh dua tahun setengah sahaja lagi.
“Kita akan menghadapi PRU dalam tempoh dua tahun setengah daripada sekarang. Saya harap rakan-rakan yang berjuang dalam parti lain terus berjuang. Siapa kata BN terpinggir dan terpadam dalam tinta sejarah politik?
“Kita lihat pilihan raya di Pelangai, alhamdulilah kita menang. Pilihan raya di Nenggiri… negeri itu Pas punya tetapi cara UMNO/BN bekerja… Pas cukup malu besar.
“Sebab di Kelantan kita hanya tinggal batu nisan. Satu di Kota Lama itu pun Pan yang menang. Satu lagi di Galas. Tetapi batu nisan UMNO tinggal satu. Alhamdulilah kita tanam kemenangan di Nenggiri dan Insya-Allah di bawah kepimpinan Datuk Ahmad Jazlan kita akan dapat ambil alih kerusi-kerusi lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Malam Tautan Kasih ’96 yang diadakan di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau turut menjelaskan bahawa UMNO/BN terus mencipta momentum kemenangan di beberapa siri pilihan raya selepas itu.
“Begitu juga di Johor. Kita lihat di Pulai dan Simpang Jeram sebelum itu. Walaupun kita tidak bertanding, tetapi atas semangat Kerajaan Perpaduan kita bantu dan mereka mendapat kemenangan.
“Hasilnya apabila kita berperang di Mahkota, kita dapati bahawa jentera bahagian seluruh Johor dan Malaysia termasuk 122 Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO turun ke bawah… kita dapat memenangi 20,648 undi majoriti.
“Silap kalau mengatakan UMNO/BN telah pupus. Saya bukan riak, takbur, sombong.. .jauh daripada ujub. Saya berpegang kepada kita mesti berusaha dan tawakkal kepada Allah Taala. Insya-Allah kejayaan akan memihak kepada kita,” katanya lagi.
Majlis Malam Tautan Kasih ’96 telah berjaya mengumpulkan seluruh perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada tahun 1996 yang diterajui oleh Ahmad Zahid pada ketika itu. – UMNO Online