Status JPKKP Masih Kekal, Sharif Musa Bidas Ada Pihak Cuba Kelirukan Rakyat Sabah

LAHAD DATU, 10 Okt – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul, menegaskan bahawa tiada nama Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) yang telah digugurkan, sebaliknya kata beliau semua nama yang dihantar kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebelum ini masih kekal.

Dalam hal ini beliau membidas pihak yang sengaja menimbulkan pelbagai isu berkaitan JPKKP malah menganggapnya sebagai pihak yang tidak bertanggungjawab dan cuba menimbulkan kekeliruan.

“Nama-nama yang kita hantar dari awal masih kekal sebagai Pengerusi JPKKP (Desa Madani) mengikut kampung masing-masing,” katanya.

Selari dengan itu beliaumenyeru semua anggota UMNO untuk mengutamakan kepentingan perjuangan parti melebihi segala-galanya.

“Jika kita sanggup bekerja sepenuh hati untuk parti dan meletakkan kepentingan parti di hadapan kepentingan peribadi, kita bukan sahaja boleh melantik saudara-saudari sebagai JPKKP, tetapi lebih dari itu,” tambahnya.

Beliau juga mengingatkan bahawa memenangi pilihan raya adalah matlamat akhir perjuangan sebagai ahli UMNO.

“Kemenangan dalam pilihan raya adalah wasilah bagi kita menduduki jawatan-jawatan dalam kerajaan untuk meneruskan perjuangan membela nasib rakyat Lahad Datu, ini bukan janji politik atau retorik tapi inilah perjuangan kita demi rakyat,” ujarnya.

Dalam hal ini Sharif Musa mengajak semua anggota parti untuk bersabar dan menunggu untuk menerima watikah perlantikan sebagai JPKKP (Desa Madani) tidak lama lagi.

Untuk rekod, KKDW telah membentangkan cadangan penubuhan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) pada Jemaah Menteri tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dipetik berkata keanggotaan ahli JPKK dan JPKKP yang dibentuk mengambil kira komposisi parti komponen Kerajaan Perpaduan sebagai menyokong prinsip sealiran dalam kerajaan kini.

Bagi negeri yang sealiran dengan Kerajaan Persekutuan, JPKK akan ditubuhkan, manakala bagi negeri-negeri yang tidak sealiran dengan Kerajaan Persekutuan maka ditubuhkan JPKKP. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit