Azalina Besar Hati Hadiri Resepsi Hari Kebangsaan Sepanyol

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berbesar hati mewakili Kerajaan Malaysia ke Majlis Resepsi Hari Kebangsaan Sepanyol yang dianjurkan oleh Kedutaan Sepanyol, malam tadi.

Beliau pada ucapannya berharap agar negara tersebut terus dalam kemakmuran di bawah naungan Raja Sepanyol, Felipe VI.

“Saya merupakan tetamu kehormat mewakili Kerajaan Malaysia di Majlis Resepsi Hari Kebangsaan Sepanyol yang dianjurkan oleh Kedutaan Sepanyol, Kuala Lumpur di The JW Marriott malam tadi.

“Di majlis tersebut, saya membuat ucapan penghormatan untuk kesihatan dan kesejahteraan di bawah Raja Sepanyol, Felipe VI serta kejayaan dan kemakmuran Kerajaan Sepanyol dan rakyatnya.

“Duta Besar Sepanyol ke Malaysia, Jose Luis Pardo Cuerdo turut membuat ucapan penghormatan sebagai balasan bagi mendoakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim; Kerajaan Malaysia dan rakyat Malaysia agar sentiasa diberi kesihatan yang baik dan kejayaan berterusan,” kongsinya menerusi satu hantaran di Facebook.

Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia turut sama merakamkan penghargaan atas jemputan tersebut dan terus mengharapkan hubungan dua hala di antara Sepanyol dan Malaysia kekal terpelihara.

“Terima kasih sekali lagi kepada Jose Luis atas jemputannya dan hidangan yang enak di majlis tersebut.

“Saya berharap hubungan baik antara Malaysia dan Sepanyol akan terus berkembang maju,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit