Pasca-PRK Mahkota: Kemenangan BN Bukti Keberkesanan Strategi, Kerjasama Mantap – Tengku Muhammed Hafiz

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Kemenangan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota adalah bukti keberkesanan strategi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya, Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan berkata, peranan yang ditunjukkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi melalui imej ‘Maju Johor’ juga berjaya menambat hati warga Mahkota.


“Alhamdulillah dengan penuh rasa syukur dan penghargaan saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada para pengundi di Mahkota atas kemenangan besar calon kita, Syed Hussien, dalam PRK baru-baru ini.

“Kemenangan ini merupakan bukti kejayaan gandingan mantap jentera parti dan strategi bijak Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memilih calon muda sebagai representasi ideal untuk memperjuangkan kepentingan rakyat di Mahkota.

“Peranan yang di tunjukkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi juga sangat menyakinkan. Kita dapat lihat imej ‘Maju Johor’ berjaya menambat hati warga Mahkota. Warga Mahkota seperti tidak mahu terlepas daripada agenda kemajuan dan pembangunan agar selari dengan perancangan negeri,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkata, imej Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh turut berjaya meletakkan kepercayaan warga Mahkota kepada Syed Hussien untuk menggalas amanah.

“Selain itu, faktor besar di sebalik kemenangan ini juga adalah pengaruh dan peranan yang dimainkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

“Imej Dr Akmal sebagai seorang pemimpin yang berani dan lantang menegur kepimpinan, sama ada kerajaan mahupun pembangkang, terutama apabila perkara tersebut melibatkan isu sensitif berkaitan agama serta bangsa telah sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada orang Melayu tentang peranan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.

“Keupayaan Dr Akmal dalam membawa isu-isu ini secara tegas dan berani telah memperkuatkan keyakinan pengundi terhadap keupayaan UMNO untuk terus menjaga kepentingan dan hak-hak orang Melayu. Imej Dr Akmal ini juga berjaya meletakkan kepercayaan warga Mahkota kepada Syed Hussien untuk melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa kejayaan yang dikecapi ini adalah hasil usaha keras para pemimpin, jentera dan ahli yang memainkan peranan masing-masing dengan sebaiknya.

“Walaubagaimanapun, sudah tentu sokongan padu daripada semua jentera parti tidak boleh dinafikan. Komitmen dan dedikasi jentera di setiap peringkat telah memainkan peranan penting dalam menjayakan kempen ini, sekali gus memastikan kemenangan yang signifikan.

“Kejayaan ini adalah hasil kerja keras bersama, didorong oleh matlamat bersama untuk memastikan rakyat Mahkota mendapat khidmat terbaik. Sekali lagi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dan pengundi Mahkota atas kepercayaan yang telah diberikan,” katanya lagi.

Pada Sabtu, BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Mahkota dengan majoriti lebih besar selepas calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah memenangi PRK menewaskan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar.

Syed Hussien yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kluang menang dengan majoriti 20,648 selepas meraih 27,995 undi, berbanding Mohamad Haizan atau Coach Haizan dengan 7,347 undi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.