PRK: Syed Hussien Syukur Selesai Mengundi Di SMK Seri Perdana

KLUANG, 28 Sept – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah selesai menunaikan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perdana di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang hadir kira-kira jam 8.55 pagi tadi.

Syed Hussien kemudiannya terus masuk ke dalam pusat pengundian dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengundi.

Beliau ketika ditemui media meluahkan kesyukuran setelah selesai membuang undi.

Syed Hussien dalam pada itu teruja melihat kehadiran pengundi yang tidak putus-putus hadir pagi ini bagi menjalankan tanggungjawab mereka.

“Alhamdulillah hari ini kita tengok pusat pengundian semua buka dan keadaan terkawal seperti biasa.

“Kita dapat lihat pelbagai lapisan bangsa dan masyarakat keluar bagi menunaikan tanggungjawab mereka dan inilah yang hendak lihatkan iaitu semangat kebersamaan untuk Kluang.

“Bukan sahaja kita nampak sebagai sebuah keluarga besar dalam Kluang, malah semangat untuk menentukan masa depan mereka di Mahkota,” katanya.

Syed Hussien turut sama mengambil kesempatan mengajak masyarakat di Kluang untuk mengambil peluang sempena PRK ini bagi membuktikan bahawa mereka mahukan masa depan yang lebih baik.

“Buat semua pengundi-pengundi di Mahkota di mana sahaja anda berada, ingatlah hari ini merupakan hari penentu untuk masa depan kita semua.

“Masa masih panjang lagi, pusat mengundi boleh dikatakan buka ada yang 5 hingga 6 petang ini.

“Apapun sama-sama kita turun, buktikan kepada negara bahawa Mahkota sudah bersedia untuk menentukan masa depan kita semua,” ujar beliau.

Syed Hussien, 40, yang juga merupakan Ahli Majlis Perbandaran Kluang Zon Seri Impian menjadi taruhan BN pada PRK DUN Mahkota.

Beliau aktif dalam pelbagai kegiatan belia serta kesukarelawanan menerusi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta mampu bertutur dalam bahasa Mandarin.

Syed Hussien pada PRK ini akan berdepan saingan dua penjuru dengan calon Perikatan Nasional, bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terdahulu daripada BN Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada Ogos lalu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.