PRK: Manfaatkan Cuaca Baik Untuk Keluar Mengundi – Azeez

KLUANG, 28 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim menyeru masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota untuk memanfaatkan cuaca baik pada ketika ini untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota.

Jelas beliau ini kerana dibimbangi pada waktu petang cuaca tidak mengizinkan untuk mereka keluar menunaikan tanggungjawab tersebut.

“Masih awal lagi jadi saya memohon, merayu kepada semua pengundi-pengundi DUN Mahkota balik kerja nanti datang mengundi dulu.

“Saya sangatlah takut petang hujan, kalau boleh datanglah kerana ini satu tanggungjawab.

“Cuba sedaya upaya sampai sebelum pukul 6 ini seramai yang boleh kita pakat-pakat doa insya-Allah kerana kami ini dari Kuala Lumpur pun datang untuk bersama-sama nak pastikan Mahkota ni BN menang,” katanya.

Abdul Azeez berkata demikian ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perdana untuk menemani seorang pengundi India yang memakai kerusi roda keluar mengundi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca baik di bandar Kluang pagi ini, namun ribut petir dijangka melanda pada sebelah petang.

Untuk rekod PRK ini menyaksikan satu lawan satu di antara calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, menentang calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, 61.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.