PRK Mahkota: Onn Hafiz Seru Pengundi Keluar Seawal Mungkin, Tunai Tanggungjawab

KLUANG, 28 Sept – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyeru pengundi berdaftar bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota menunaikan tanggungjawab seawal mungkin hari ini.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran dalam laman Facebooknya pagi ini.

“Syukur Alhamdulillah. Saya dan rakan-rakan telah turun padang menghantar sendiri pengundi DUN Mahkota ke pusat pembuangan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana, Kluang seawal jam 8 pagi.

“Ayuh semua pengundi DUN Mahkota, keluar mengundi seawal mungkin untuk tunaikan tanggungjawab anda.

“Selamat mengundi buat seluruh warga DUN Mahkota. Semoga proses pembuangan undi ini akan terus berjalan dengan lancar dan dipermudahkan, insya-Allah,” katanya.

Tepat 8 pagi ini, 20 pusat mengundi melibatkan 109 saluran akan dibuka untuk proses pengundian sebelum semuanya ditutup serentak pada 6 petang.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Pada pilihan raya negeri sebelum ini, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.