PRK: Pengundi Luar Perlu Pulang Mengundi, Kalau Sayang Mahkota Pilih BN – Azalina

KLUANG, 27 Sept – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berharap pengundi Mahkota yang tinggal di luar kawasan untuk pulang menunaikan tanggungjawab mereka.

Jelas beliau, ia bukan semata untuk memperoleh kemenangan namun partisipasi sebagai rakyat kepada pembangunan kawasan.

“Walaupun tahu banyak orang kata alah kalau tak balik pun tak apalah boleh menang. Saya rasa ini bukan isu menang atau kalah, ini isu tanggungjawab sebagai pengundi.

“Sebagai pengundi perlu berasa bangga bahawa anda terlibat dalam pilihan raya, memilih wakil rakyat sama ada ahli Parlimen ataupun Ahli Dewan Undangan Negeri.

“Sebab kita mahu supaya wakil rakyat itu bertanggungjawab kepada pilihan yang telah dibuat kerana setiap undi adalah undi ke arah Maju Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO Online selepas ditemui bersama pengundi Cina, di Restoran Nasib.

Azalina yang juga Ahli Parlimen dan juga Ketua UMNO Bahagian Pengerang dalam pada itu berkata sebagai penduduk yang berasal daripada Mahkota mereka semestinya mahu melihat kawasan yang dekat di hati menerima limpahan kemakmuran di bawah kendalian kerajaan negeri dan Pusat.

 

“Itu sebabnya kalau kita tak undi tapi hendak buat tuntutan macam-macam, tak adil macam ini macam hanya nak menumpang kejayaan.

“Tetapi kalau kita mengundi, laksana tanggungjawab seolah-olah boleh rasa bahawa kita telah melabur kepada kemenangan tersebut.

“Itu sebab saya minta kepada pengundi luar khasnya baliklah undilah, tunjukkan komitmen supaya kalau sayang kawasan kita, pilihlah yang terbaik,” ujar beliau.

PRK ini menyaksikan Syed Hussien Syed Abdullah, 40, yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Kluang menjadi taruhan Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga Ahli Majlis Perbandaran Kluang Zon Seri Impian aktif dalam pelbagai kegiatan belia serta kesukarelawanan menerusi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta mampu bertutur dalam bahasa Mandarin.

PRK ini menyaksikan saingan dua penjuru antara BN dengan calon Perikatan Nasional, bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut selepas mantan ADUN Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang meninggal dunia pada Ogos lalu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.