Hubungan Baik Kerajaan Pusat Dan Negeri Beri Manfaat Kepada Rakyat

KLUANG, 27 Sept – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata hubungan yang baik antara kerajaan pusat dan negeri sangat penting.

Ujar Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, hasil kerjasama yang erat itu akan banyak memberi manfaat kepada rakyat.

“Kerajaan inilah yang sangat komited membantu rakyat. Apabila hubungan yang baik di antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat, keberhasilannya adalah untuk rakyat keseluruhannya.

“Saya ucapkan tahniah dan syabas kerana kerajaan Johor merupakan sebuah kerajaan negeri yang dapat meningkatkan pelaburan asing yang paling banyak dalam tempoh dua tahun ini. Dan daerah Kluang walaupun berada di tengah-tengah negeri Johor tetap mempunyai potensi yang paling tinggi dalam bidang perindustrian, pelaburan domestik dan luar negara,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian semasa berucap pada program Felcra Madani: Santuni Rakyat di Dewan Serbaguna Chamek di sini pada Khamis.

Terdahulu dalam program yang sama, Ahmad Zahid mengumumkan Keuntungan Boleh Agih Interim 2 Tahun 2024 Projek Peserta Felcra Berhad (Felcra) berjumlah RM129.81 juta.

Jelasnya, agihan keuntungan tersebut akan dibayar secara berperingkat dan memanfaatkan hampir 68,000 peserta di seluruh negara, melibatkan hampir 600 projek untung.

“Saya mengucapkan syabas kepada Felcra Berhad atas kejayaan mengekalkan prestasi yang baik iaitu kenaikan hampir RM82 juta atau 168 peratus berbanding prestasi tahun lepas.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Felcra (Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub) yang berjaya menggandakan keuntungan hasil kerjasama baik dengan pihak pengurusan tertinggi,” katanya lagi.

Seterusnya, Ahmad Zahid berharap dalam tempoh sepuluh tahun akan datang, semua anak syarikat di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dapat terus memberikan sumbangan untuk menjalankan semua aktiviti serta berdikari tanpa peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

Manakala berhubung dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Ahmad Zahid berkata amat penting bagi sesebuah kawasan memiliki seorang wakil rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mempunyai hubungan rapat antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

“Kita perlukan seseorang yang rapat dengan kerajaan negeri. Kita perlu kerajaan negeri yang rapat dengan Persekutuan. Apabila ada hubung kait Persekutuan dengan negeri, negeri dengan DUN, maka keserasian ini mesti diterjemahkan.

“Untuk menterjemahkan, kita perlu seorang ADUN atau wakil rakyat yang boleh membawa kemajuan di Mahkota kerana kita yakin kerajaan negeri Johor akan terus memberikan keprihatinan kepada Mahkota,” katanya.

PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 14 Sept, pengundian awal 24 Sept manakala hari pengundian pada Sabtu ini.

BN mewakili Kerajaan Perpaduan menampilkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, sebagai calon. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.