DUN Mahkota: Apa Pentingnya Mengundi Pada Kali Ini?
KLUANG, 25 Sept – Berbaki tiga hari berkempen jentera perlu terus fokus dan bekerja keras menyakinkan pengundi untuk memilih Barisan Nasional (BN) dan memastikan mereka keluar membuang undi pada Sabtu ini, baik yang tinggal di dalam kawasan Mahkota mahupun yang berada di luar.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota merupakan satu isyarat dokongan kepada Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“Apa pentingnya mengundi pada kali ini? Kita hendak memberikan isyarat dan menyatakan dokongan kita kepada Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Datuk Onn Hafiz yang menerajui negeri Johor ini dengan baik.
“Bagi memastikan ekonomi terus berkembang dan pelabur-pelabur akan terus datang. Dan kita hendak memberikan signal kepada pelabur bahawa politik di negeri Johor ini amat stabil dan mereka seharusnya lebih agresif untuk datang melabur.
“Bila mereka melabur, ekonomi akan berkembang, peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak muda akan lebih bertambah di bumi Johor ini,” katanya kepada UMNO Online yang turut berpesan kepada jentera agar jangan merasa selesa dan lalai serta jangan sesekali meremehkan parti lawan.
PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu minggu lalu dan pengundian awal pada semalam manakala hari pengundian pada 28 Sept ini.
BN mewakili Kerajaan Perpaduan menampilkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, sebagai calon manakala PN mempertaruhkan bekas jurulatih dan pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61.
Seterusnya, Dr Asyraf yang juga Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan menghargai komiten yang ditunjukkan oleh semua jentera BN dan parti Perpaduan.
“Ucapan syabas, tahniah dan penghargaan setingginya kepada jentera. Saya lihat jentera-jentera UMNO dan Barisan Nasional, jentera Kerajaan Perpaduan cukup berdisplin.
“Saya dapat lihat kerjasama yang cukup akrab di kalangan jentera parti-parti komponen yang bergerak di bawah panji Kerajaan Perpaduan ini. Bukan sahaja jentera Barisan Nasional tetapi juga jentera daripada Pakatan Harapan.
“Komitmen dan disiplin mereka amat baik sekali dan ini memberikan satu isyarat yang cukup positif,” katanya lagi.
Begitu juga katanya apabila melihat penerimaan positif rakyat terhadap kempen yang dijalankan.
“Kita dapat lihat penerimaan pengundi-pengundi ketika lawatan, ziarah rumah ke rumah, ke restoran, kedai makan, tempat-tempat berhimpunnya orang ramai dan bila ada program-program yang diuruskan oleh jentera parti, sambutannya luar biasa.
“Walaupun hakikatnya kalau kita lihat di sini adalah berbilang kaum dan agama tetapi semuanya menunjukkan penerimaan yang amat positif.
“Tambah lagi calon kita adalah calon yang disenangi dan disukai oleh semua pihak… sama ada bangsa Tionghoa, orang India apatah lagi orang Melayu kita dapat lihat mereka begitu bersemangat dan menunjukkan satu petanda yang amat positif untuk mengundi Syed Hussien ini, insya-Allah,” ujarnya.
SPR memaklumkan seramai 66,318 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu, terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara. – UMNO ONLINE