Bijaklah Menilai, Pilih BN Untuk Wakil Rakyat Mahkota – Abdul Razak

KLUANG, 25 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman menyeru para pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota agar bijak memilih bagi menentukan wakil rakyat di sini.

Katanya, dengan perkembangan terkini masyarakat didedahkan dengan pelbagai maklumat maka mereka perlu bijak dalam menilai dan tahu membezakan kebenaran pelbagai sumber yang ada.

Justeru katanya yang juga Exco Kerajaan negeri Melaka, semua jentera yang berkempen dalam PRK DUN Mahkota perlu terus bekerja bagi memastikan calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah mendapat tempat di hati pengundi.

“Sudah semestilah kita harus meningkatkan usaha kita, lebih-lebih lagi untuk kita mendampingi pengundi-pengundi kerana sekarang ini pengundi lebih terdedah dengan sumber-sumber yang ada di sekeliling… amat berbeza seperti dahulu.

“Sekarang ini pengundi bijak menilai dan senang dapat maklumat jadi di sini terutamanya jentera BN perlu pastikan untuk mendampingi pengundi-pengundi tak kira golongan muda ataupun pertengahan.

“Insya-Allah dengan gerak kerja jentera kita di DUN Mahkota ini, saya yakin masyarakat setempat akan bersama dengan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO Online semasa ditemui dalam kempen yang berlangsung sempena PRK DUN Mahkota dengan hari pengundian akan dilakukan pada 28 Sept ini.

Ujar Abdul Razak, suasana kempen di PRK DUN Mahkota adalah berbeza dengan PRK DUN Nenggiri yang telah dimenangi BN pada 17 Ogos lalu.

“Setiap pertandingan sudah semestinya kita mahu mempertahankan maruah kita, bukan hanya di Mahkota saja tapi pada setiap pilihan raya juga.

“Di Nenggiri kita dapat merampas kerusi pihak lawan tapi di DUN Mahkota ini sudah semestinya kita mahu pertahankan kerusi kita dan kita yakin kita mampu dan kalau tengok ‘mood’ pengundi hari ini berpihak kepada kita dan insya-Allah kita boleh pertahankan.

Berkaitan dengan calon yang ditawarkan BN, ujar Abdul Razak sambutan masyarakat setempat amat bagus lebih-lebih lagi BN membuktikan pilihan calon yang ditawarkan berpotensi untuk menjadi seorang wakil rakyat yang baik.

“Lebih lagi kita tengok dengan pengalaman walaupun beliau seorang yang muda tetapi beliau ada banyak pengalaman dalam aktiviti kemasyarakatan, maka saya nampak beliau boleh membantu meneruskan kerja-kerja yang ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Sharifah Azizah sebelum ini,” katanya lagi.

Kerusi DUN Mahkota kosong selepas penyandangnya Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 2 Ogos lepas.

Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang sejak 1993 merampas kembali kerusi DUN Mahkota daripada Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti 5,166 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Mac 2022. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.