Menangkan BN Di Mahkota Untuk Fokus Agenda Lebih Baik Kepada Rakyat – Norliza
KLUANG, 24 Sept – Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim mengingatkan semua pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota agar jangan salah membuat pilihan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.
Ini kerana katanya, Barisan Nasional (BN) telah menawarkan calon terbaik iaitu Syed Hussien Syed Abdullah yang berkeupayaan dalam membawa suara masyarakat setempat ke Dewan Negeri kelak.
“Kepada semua pengundi DUN Mahkota jangan buat salah pilihan. BN telah tawarkan calon yang baik jadi berilah peluang untuk beliau dinobatkan sebagai wakil rakyat dan memberikan kebaikan serta pembangunan untuk rakyat setempat.
“Undilah calon BN dan apa yang boleh kita lakukan maka akan dilaksankan lantaran selari dengan pentadbiran kerajaan negeri dan kerajaan pusat,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi PTPTN berkata demikian dalam sesi podcast #HitamPutihKelabu hasil alternatif daripada Penerangan UMNO Malaysia yang disiarkan malam tadi melalui laman Facebook UMNO Online sempena PRK DUN Mahkota.
Ujar Norliza, apabila DUN selari dengan kerajaan negeri dan kerajaan pusat maka pelbagai urusan pentadbiran untuk memajukan rakyat akan mudah dilaksanakan.
“Syed Hussien adalah calon yang terbaik untuk dijadikan jambatan atau agen bagi rakyat mendapat bantuan daripada kerajaan negeri dan kerajaan pusat kerana semuanya selari.
“Jika dilihat dari ‘track record’ BN sendiri, menteri besar Johor antara yang terbaik, turun sendiri menyantuni akar umbi dengan barisan kepimpinan Exconya amat fokus pada kerja kerana memahami bahawa kehidupan adalah untuk rakyat.
“BN sentiasa pastikan capai KPI dan melaksanakan amanah kepada rakyat.”
Berkaitan dengan jentera Wanita, beliau menegaskan bahawa sokongan kepada calon BN ini adalah melebihi 100 peratus.
“Wanita telah mula gerak kerja sebelum pengumuman calon lagi. Kelebihan wanita ada keistimewaan iaitu cuba merayu undi dan mengenal pasti pengundi-pengundi, kita buat ‘headcount’ dan hantar ‘handbill’ secara terus.
“Insya-Allah jentera Wanita akan terus bekerja sehingga habis hari pengundian. Wanita akan bantu ‘all out’, harap Syed Hussien akan menang bergaya dan dapat pastikan calon yang telah parti putuskan hendaklah kita sokong.”
Ujar Norliza, BN telah membuktikan bahawa pemimpin yang lahir dari parti ini mampu melaksanakan amanah untuk rakyat.”
“Pemimpin yang lahir darir BN amat baik dan tahu bagaimana nak menyantuni apa yang rakyat mahukan. Barangkali ada kelemahan dari segi media sosial tetapi cuba diperbaiki dari semasa ke semasa.
“Kita tengok di Nenggiri, Azmawi yang diangkat sebagai wakil rakyat menggunakan sepenuhnya jambatan kepada kerajaan pusat dengan menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat di sana.
“Baru-baru ini Azmawi telah hubungi saya selaku Pengerusi PTPTN, nak minta berikan bantuan awal kepada pelajar dan insya-Allah akan disalurkan dalam masa terdekat, maka jelas nampak beliau adalah pemimpin dari BN yang komited dengan bekerja demi rakyat,” katanya lagi.
PRK DUN Mahkota, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Syed Hussein dan calon Perikatan Nasional Mohamad Haizan Jaafar. – UMNO Online