PRK Mahkota: Jangan Rasa Selesa Biarpun Gelombang Sokongan Kepada BN Positif – Rosni

KLUANG, 17 Sept – Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari berkata walaupun gelombang sokongan masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota terhadap calon Barisan Nasional (BN) adalah positif namun jentera parti tidak boleh berasa selesa.

Ujarnya, umum mengetahui bahawa DUN Mahkota ini adalah milik BN apabila penyandangnya dahulu, Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain komited menabur bakti namun begitu kerja-kerja meraih undi perlu terus dilaksana sepanjang kempen di sini.

“Kepada jentera-jentera parti buatlah kerja dengan terbaik bagi kita dapat meraih kemenangan. Ini adalah penting untuk kita kekalkan kesinambungan kerja-kerja baik Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah di DUN ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi podcast #HitamPutihKelabu yang diterbitkan oleh Penerangan UMNO Malaysia sempena kempen PRK DUN Mahkota. Moderator sesi tersebut ialah Kaslinda Abdul Kadir dengan platform siaran menerusi Facebook UMNO Online.

Berkaitan penglibatan jentera Wanita, Rosni memaklumkan bahawa gerak kerja dilaksana berterusan bagi meraih sokongan dari segenap masyarakat.

“Kalau tak ada jentera Wanita dalam setiap pilihan raya maka sunyilah di DUN tersebut jadi samalah di DUN Mahkota ini. Gerak kerja susun atur telah dilaksana dengan elok, arwah adalah Ketua Wanita Bahagian maka dah ada aturan yang disambung oleh Naibnya.

“Wanita UMNO yang diketuai oleh Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah ada susunan gerak kerja kerana calon BN adalah hebat dan apa yang penting sentiasa komited untuk bekerja bagi rakyat DUN Mahkota.

“Semua cawangan-cawangan ini ada susun atur gerak kerja, tahlil, baca yassin, kajian kecenderungan pengundi telah dilakukan. Kita akan terus bekerja kerana apa yang penting adalah calon BN menang besar. Wanita ini adalah ‘emak-emak’ yang bekerja.”

Ujarnya, kerja tradisional Wanita adalah merayu undi, mendapat ‘feedback’ dari ketua-ketua cawangan atau akar umbi tentang pengundi bawahan maka jentera parti akan turun padang dan menyantuni mereka.

“Kita tak mahu ada yang tertinggal. Wanita ambil inisiatif dengan usaha untuk lebih mendalami bagi memberi kefahaman kepada rakyat agar mereka memberikan sokongan kepada BN.

“Adalah satu kerugian kepada rakyat jika mereka tak menyokong kepimpinan BN kerana selari calon ini akan membawa saluran untuk selari dengan kerajaan negeri yang diterjui Menteri Besarnya, Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi,” katanya lagi.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 66,318 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu, terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.