Optimis Sokongan Terhadap Syed Hussien, Peribadi Disenangi – Hasmuni

KLUANG, 17 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Hasmuni Hassan optimis dengan sokongan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota terhadap calon UMNO/Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah.

Menurut beliau, ini kerana ketua Pemuda UMNO Kluang itu sudah dikenali oleh penduduk tempatan di samping mempunyai keperibadian yang disenangi.

“Apa yang uniknya bila kita memperkenalkan calon ini rupanya dia sudah pun dikenali di sini.

“Mudah orang cakap daripada awal lagi kita dah nampak Syed Hussien ini memang seorang calon dan anak muda yang baik. Dikenali di Kluang, terutamanya di Mahkota.

“Jadi kita yakin dengan penampilan calon UMNO/BN, anak muda Syed Hussien, insya-Allah BN akan menang pada 28 September nanti,” katanya.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu dalam pada itu berkata jentera parti akan berusaha sebaiknya untuk bertemu semaksimum mungkin pengundi bagi menyampaikan aspirasi parti buat penduduk di kawasan ini.

Ini termasuk pembahagian negeri, bahagian dan MKT angkat yang berperanan mendekati pengundi secara menyeluruh.

“Saya bersama-sama dengan Pahang dan Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin selaku MKT angkat di sini merancang bagi menyentuni seramai mungkin pengundi di sini yang berjumlah lebih kurang 2,040 orang.

“Di mana pengundi Melayu hampir 1,200 orang Pengundi Cina ada kurang dalam 500 yang lebih. Semangat ini kita bawa ke sini bagi memastikan DUN Mahkota ini kekal menjadi milik UMNO/BN,” ujar beliau.

Untuk rekod PRK ini menyaksikan satu lawan satu di antara calon BN, Syed Hussien, 40, menentang calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, 61.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.