UMNO Rompin Sokong Penuh Langkah Diambil Presiden Untuk Terus Kukuhkan Parti

ROMPIN, 10 Sept – UMNO Bahagian Rompin membuat pendirian menyokong penuh pelbagai usaha yang dilakukan oleh Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam usaha untuk terus memulihkan dan seterusnya memperkukuhkan parti.

Ketuanya Datuk Seri Hasan Arifin, berkata memahami realiti politik negara hari ini, perlunya pendekatan yang berkesan bagi parti menempuh medan pilihan raya dan seterusnya mampu mencapai kemenangan.

“UMNO Bahagian Rompin membuat pendirian menyokong sepenuhnya langkah-langkah yang telah diambil oleh Presiden UMNO dalam usaha untuk memulihkan UMNO ini.

“Dengan pelbagai cabaran yang dihadapi, kita yakin pendekatan yang paling taktikal, berkesan bagaimana kita mampu mengharungi pilihan raya ke-16 nanti dengan bergaya dan menang,” katanya ketika berucap di Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Rompin di Dewan Serbaguna Bandar Tun Razak, Keratong di sini baru-baru ini.

Hadir sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam yang juga Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia sebagai penceramah utama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rompin Datuk Ir Razali Kassim merangkap Exco Kerajaan Negeri Pahang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah; dan Ketua Wanita UMNO bahagian Datin Shamsiah Arshad.

Seterusnya ulas Hasan, semua ahli akar umbi dan jentera parti perlu memahami realiti politik hari ini dan kerjasama yang dijalinkan oleh parti adalah untuk kebaikan negara.

“Kita mesti memahami keadaan realiti politik Malaysia hari ini dan sekarang ini merupakan pendekatan yang paling baik. Musuh kita yang sebenar dalam politik ialah Pas dan Bersatu.

“Kita harap dalam pilihan raya akan datang, pendekatan yang kita bawa ini akan benar-benar dapat kita menembusi di kalangan pengundi bahawa akhirnya realiti politik di Malaysia ini adalah bagaimana kita mempengaruhi pengundi demi kebaikan negara,” katanya lagi.

Pada majlis tersebut, Hasan turut mengambil kesempatan melancarkan gerakan menawan kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Ibam.

“Saya ingin menguji sama ada jawatankuasa, sekretariat yang ditubuhkan dan penyelaras DUN Bukit Ibam bersedia atau tidak untuk menawan semula. Kita akan mengadakan pelbagai program.

“Semua mesti bekerja keras dalam rangka untuk menawan semula DUN Bukit Ibam ini. Ini juga sebagai persediaan sama ada kita bersedia atau tidak hadapi ujian, halangan serta cabaran sama ada rakyat sudah kembali dan yakin kepada kita dan apakah isu-isu semasa yang boleh kita dapat tangani bersama,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.