Pemilihan Calon BN PRK DUN Mahkota Satu Pengiktirafan Kepada Golongan Muda – Ak Mohd Yazri

BEAUFORT, 10 Sept – Pemilihan calon daripada ‘orang muda’ bagi mewakili UMNO/Barisan Naisional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N29 Mahkota merupakan pengiktirafan kepada golongan muda.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Beufort, Ak Mohd Yazri Ak Mohd Yahya berkata, berdasarkan kejayaan cemerlang calon Pemuda UMNO pada PRK Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani baru-baru ini, sekali lagi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan barisan kepimpinan tertinggi meletakkan amanah serta kepercayaan apabila Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah, 40, menjadi calon BN PRK DUN Mahkota pada 28 September ini.

“Ini merupakan satu amanah serta kepercayaan pucuk pimpinan kepada calon muda untuk berjuang atas tiket UMNO/BN dan menjadi harapan kita agar momentum sokongan rakyat khususnya pengundi muda semasa PRK Nenggiri akan berulang di PRK Mahkota,” katanya ketika mengulas berkaitan perkara terbabit.

Pengumuman Syed Hussein sebagai calon BN bagi PRK DUN Mahkota telah dibuat oleh Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi semasa Majlis Pelancaran Jentera dan Pengenalan Calon BN bagi PRK DUN Mahkota di Pusat Operasi BN pada Sabtu.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinan sayap BN dan Pakatan Harapan (PH).

Turut hadir Presiden MCA, Datuk Dr Seri Wee Ka Siong dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengerusi Dap Johor, Liew Chin Tong.

Ak Mohd Yazri berkata dengan meletakkan calon muda pada PRK kali ini membuktikan kesungguhan UMNO untuk meremajakan parti terutama dalam mendekati golongan belia bagi mendepani pilihan raya akan datang.

“Ini juga menolak persepi selama ini yang mengatakan bahawa parti keramat ini hanya terbuka kepada sebahagian kelompok generasi atau umur,” katanya.

Ak Mohd Yazri menambah, meremajakan UMNO ini sangat penting dan kritikal untuk dilakukan kerana 30 hingga 40 peratus pengundi baharu adalah orang muda iaitu setiap Pilihan Raya Umum (PRU) lebih kurang lima atau enam juta orang muda akan menjadi pengundi.

Sehubungan itu jelasnya calon yang dipertaruhkan ini adalah pilihan tepat pucuk pimpinan parti dalam meneruskan legasi cemerlang di kawasan itu sebagaimana Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain di DUN Mahkota.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRK DUN Mahkota pada 28 September, dengan penamaan calon pada 14 September dan pengundian awal pada 24 September. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.