Wanita, Pemuda Dan Puteri Bersama Gempur Pengundi, Kekalkan BN Di Mahkota – Alif Firdaus

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Alif Firdaus Abdul Hadi menyeru semua anggota parti termasuk Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri untuk sama-sama mengembleng tenaga memastikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota kekal milik Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kelak.

Ujarnya, anggota parti selaku jentera memainkan peranan yang sangat penting bagi memastikan kemenangan calon UMNO/BN di PRK DUN Mahkota iaitu Ketua Pemuda UMNO Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah.

“Marilah sama-sama kita bekerja dan meneruskan momentum kemenangan BN dalam PRK DUN Mahkota,” katanya kepada UMNO Online.
Dalam masa yang sama beliau turut melahirkan penghargaan kepada kepimpinan parti yang telah memilih Syed Hussien bagi mewakili BN untuk PRK terbabit.

“Terima kasih daripada kami Pemuda UMNO kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinan parti atas kepercayaan meletakkan calon Pemuda di PRK N29 ini.

“Kami sangat menghargai dan berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh agar kemenangan berpihak kepada BN,” katanya lagi.

Terdahulu, Syed Hussien diumum sebagai calon BN bagi PRK DUN Mahkota oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam majlis Pelancaran Jentera dan Pengenalan Calon BN yang berlangsung pada Sabtu.

Syed Hussein memiliki kelulusan dalam bidang perniagaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta berpengalaman lebih 10 tahun berkhidmat bersama UMNO.

Kerusi DUN Mahkota kosong selepas penyandangnya Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 2 Ogos lepas.

Pada PRN Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang sejak 1993 merampas kembali kerusi DUN Mahkota daripada Pakatan Harapan (PH), selepas menang dengan majoriti 5,166 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 September ini. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.