PRK Mahkota: Yakinkan Pengundi Pilih UMNO/BN Agar Aspirasi Mereka Didengari

JOHOR BAHRU, 7 Sept – Anggota jentera perlu menyakinkan para pengundi untuk memilih calon UMNO/Barisan Nasional (BN) agar aspirasi mereka didengari seterusnya dibawa ke pihak berwajib.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Dr Mohammad Aswad Nin Ithnain berkata, semua jentera perlu mengenali komuniti DUN Mahkota dengan lebih mendalam sebelum mendekati mereka.

“Kalau kita imbas kembali ucapan penggulungan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu, beliau menekankan empat perkara iaitu rakyat mahu makan, minum, bekerja dan berkeluarga. Fasa ini akan menjadi kitaran yang berterusan.

“Kalau kita berbicara mengenai konteks media sosial, saya setuju bahawa kita perlu mempunyai ‘engagement’ yang baik. Kita perlu ‘narrow down’ kepada pengundi-pengundi muda kemudian klasifikasikan mengikut kaum.

“Dalam menghadapi PRK ini apa yang paling penting ialah kita mendekati pengundi di samping menjaga hati mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi wawancara ‘Hitam Putih Kelabu’ yang diadakan sempena Kursus Pengukuhan Komunikasi Penerangan UMNO Negeri Johor, sebentar tadi.

Menurutnya, seluruh jentera perlu menerangkan segala usaha yang telah dilakukan oleh mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain sepanjang beliau berkhidmat.

“Beliau bekerja dengan bersungguh-sunggu sepanjang perkhidmatannya menjaga DUN Mahkota ini. Jadi, kita perlu menerangkan dan menunjukkan segala gerak kerja beliau yang saya percaya Kerajaan Negeri telah senaraikan.

“Siapa sahaja calon yang kita ketengahkan, beliau perlu pastikan bahawa segala aspirasi, gerak kerja, suara rakyat didengari dan dibawa ke pihak berwajib.

“Ini menjadi satu petanda bahawa mereka perlu menyokong calon UMNO/BN supaya segala aspirasi rakyat dapat didengar dan sampai kepada Kerajaan Negeri,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru para jentera menghasilkan konten untuk menyerang pihak lawan dan menyentuh emosi para pengundi.

“Dalam kita menghasilkan sesuatu konten, kita perlu pastikan bahawa pengundi dapat memahami dan mengetahui isu kita ketengahkan meskipun ia tidak bersifat general serta mengikut niche masing-masing.

“Kita perlu bergerak tangkas ke hadapan dan mengenalpasti emosi pengundi. Contohnya seperti isu Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, kita perlu dorong pengundi untuk memilih institusi diraja. Kita mahu rakyat nampak bahawa Muhyiddin tidak menghormati institusi diraja.

“Kita juga perlu membawa enam teras dalam Maju Johor ketika berkempen. Apa pun, kita perlu membawa apa yang bersesuaian dengan majoriti penduduk di DUN Mahkota,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 27 September.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, meninggal dunia pada 2 Ogos lalu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.