‘Ikat’ Calon BN Dengan Media Sosial, Jentera Penerangan Siap Siaga Pertahan DUN Mahkota

JOHOR BHARU, 7 Sept – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan bahawa calon UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu ‘diikat’ dengan media sosial bagi memastikan kemenangan dalam setiap pilihan raya.

Ujarnya yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, antara faktor utama kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu adalah akibat kegagalan menguasai media sosial khususnya media baharu termasuk TikTok.

“Letak calon hebat mana pun kalau tak diikat dengan media sosial maka akan kalah. Sekarang gaya hidup telah berubah dan semuanya dengan telefon. Ada macam-macam cerita dalam media sosial yang mudah dibaca dan boleh mempengaruhi orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penutup Kursus Pengukuhan Komunikasi Penerangan UMNO Malaysia peringkat Negeri Johor yang diadakan di sini, hari ini.

Ujarnya, dalam mendepani Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota yang bakal mula berkempen 14 Sept depan, ia adalah berbeza dengan PRK DUN Nenggiri.

“Kerja penerangan berbeza di PRK Mahkota dan PRK Nenggiri kerana di sana kita fokus kepada isu-isu tempatan memandangkan pihak lawan merupakan kerajaan di sana dan kita mahu merampas DUN Nenggiri.

“Manakala, untuk PRK DUN Mahkota adalah melibatkan usaha kita mengekalkan DUN ini. Kerajaan Negeri Johor adalah BN dan selari dengan kerajaan pusat. Namun begitu, walaupun kerusi DUN Mahkota adalah kerusi BN tetapi di Parlimen adalah kerusi Dap.”

Katanya yang juga Ahli Parlimen Pengerang, jentera penerangan parti memainkan peranan untuk pastikan kemenangan calon PRK adalah kemenangan sebagai satu keluarga dalam BN.

“Anggota penerangan UMNO adalah bala tentera utama kepada parti yang akan memastikan kita membawa kemenangan dalam PRK Mahkota nanti.

“Kita akan tetap sokong siapa pun calon yang ditawar dan akan bersedia untuk bekerja demi kemenangan UMNO/BN,” katanya lagi.

Kerusi DUN Mahkota kosong selepas penyandangnya Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 2 Ogos lepas.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRK itu pada 28 Sept, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 Sept. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.