Ahmad Zahid Syukur BN Menang Di Nenggiri, Raikan Penuh Tawadhu’

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan penuh kesyukuran atas kemenangan BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri hari ini.

“Syukur Alhamdulillah. Tiada ungkapan lebih besar dapat saya ungkapkan selain Engkaulah Yang Memberikan Kekuasaan Ya Allah,” katanya.

Ujar Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, kepercayaan yang diberikan ini bukan sahaja satu amanah, tetapi juga satu tanggungjawab besar yang akan parti laksanakan sebaiknya.

“Dengan mandat ini, kita raikan dengan penuh tawadhu’ dan keinsafan bahawa jalan perjuangan masih panjang serta usaha mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional akan tetap diteruskan.

“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada ikhtiar melakar kejayaan yang lebih bermakna di masa hadapan,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook dan akaun X, malam ini.

Selanjutnya, Ahmad Zahid merakamkan setinggi penghargaan kepada seluruh pengundi di N.43 DUN Nenggiri yang telah memberikan kepercayaan semula buat BN untuk kembali berkhidmat kepada rakyat di sini.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada Pengarah Pilihan Raya DUN Nenggiri Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Haji Ahmad Jazlan Yaakub selaku Pengarah Operasi dan pastinya seluruh jentera BN serta semua jentera parti di bawah Kerajaan Perpaduan yang telah bertungkus lumus membantu di Nenggiri bagi memastikan kemenangan calon kita, Awie,” ujarnya lagi.

Terdahulu, dilaporkan di Bilik Gerakan BN PRK DUN Nenggiri di Gua Musang, secara tidak rasmi Calon BN Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani merampas kembali kerusi DUN tersebut dengan memperoleh 9,113 undi manakala Pas yang diwakili Mohd. Rizwadi Ismail sebanyak 5,741 undi.

Mohd Azmawi Fikri yang lebih dikenali dengan panggilan Awie menang dengan majoriti 3,372 undi. – UMNO ONLINE


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit