Sanusi Merepek Di Nenggiri, Berbohong Kepada Orang Kampung – Syed Johan
KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri menempelak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengatakan bahawa UMNO tidak lagi membawa perjuangan membela nasib orang Melayu dan Islam di negara ini.
Menurut beliau, kenyataan tersebut merupakan pembohongan daripada pemimpin dari sebuah parti yang kononnya membawa perjuangan berlandaskan Islam.
“Ketika PRK Nenggiri baru bermula tempoh kampen, saya lihat ada video viral ucapan panglima Perang Perikatan Nasional (PN) yang terpaling Kedah dan terpaling Islam.
“Kononnya hari ini orang Melayu dan orang beragama Islam tak boleh lagi nak menyokong UMNO sebab UMNO hari ini bukan lagi UMNO yang macam dulu.
“Nak tanya ke Sanusi ni apa yang dok merepek di Nenggeri ni? Bohong kepada orang kampung ni tak habis-habis sedangkan dia adalah Menteri Besar daripada parti Islam, seorang pemimpin Islam,” katanya menerusi hantaran video Tiktok.
Beliau berkata demikian bagi memberi respon terhadap ceramah kempen yang diberikan Sanusi sempena PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Menurut beliau, kenyataan Sanusi hanyalah permainan politik semata bagi meraih sokongan orang Melayu terhadap mereka.
Sedangkan perjuangan UMNO terhadap orang Melayu dan Islam masih menjadi tunjang kepada perjuangan parti keramat ini.
Menurut beliau ia dibuktikan melalui kerjasama UMNO/BN bersama Kerajaan Perpaduan yang menitik beratkan empat asas iaitu pertahankan agama Islam, orang Melayu, raja-raja dan Bahasa Melayu.
“Ini syarat UMNO jadi dekat mana yang Sanusi kata UMNO dah lari daripada perjuangan untuk membela bangsa Melayu dan juga agama Islam?
“Sedangkan negara ni ditubuhkan atas asas kesepaduan orang Melayu melalui UMNO dan Perlembagaan negara ni juga dibuat, dititikkan oleh UMNO,” katanya. – UMNO Online