Pengundi DUN Nenggiri Berpeluang Hantar Suara Rakyat Ke DUN Kelantan

GUA MUSANG, 8 Ogos – Masyarakat khususnya pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri berpeluang untuk menghantar seorang lagi wakil pembangkang di DUN Kelantan dalam usaha membawa suara masyarakat setempat termasuklah rakyat negeri tersebut.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata peluang yang datang sekali lagi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan pada 17 Ogos ini harus dimanfaatkan sebaiknya untuk memastikan masyarakat di DUN Neggiri mendapat khidmat terbaik daripada calon Barisan nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

“Pada saya, orang di sini sepatutnya menambahkan lagi suara pembangkang yang lebih kuat. Di Kelantan ada 45 kerusi dan satu dimenangi BN dan satu lagi diwakili oleh Parti Amanah. Kita memerlukan suara yang lebih kerana suara ini sebenarnya yang boleh membuatkan kerajaan negeri ini tidak melakukan perkara yang sewenang-wenangnya.

“Kerajaan ini tidak akan berubah… kerajaan ini memang di bawah kerajaan Perikatan Nasional dan yang kita perlukan kemenangan Awie ini nanti kerana beliau boleh membawa suara rakyat yang sebenar,” katanya kepada UMNO-Online.

Terdahulu beliau bersama jentera tempatan mengadakan program ziarah dan kempen merayu undi di sekitar PDM Jeram Tekoh.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis seterusnya berkata dengan pertambahan suara pembangkang di DUN Kelantan sudah pastilah kerajaan negeri yang diterajui Pas akan lebih berhati-hati serta melihat aspek kepentingan rakyat secara menyeluruh.

“Kalau tidak nanti kerajaan yang selesa maka mereka boleh ‘membuli’… sebenarnya yang kena buli adalah rakyat bukannya dalam Dewan… bukannya wakil rakyat pembangkang. Mereka boleh buat bajet sesuka hati setiap hujung tahun dan inilah pentingnya wakil pembangkang di DUN nanti.

“Maka suara lantang daripada pembangkang nanti termasuklah saudara Awie insya-Allah jika diberikan kemenangan nanti membawa satu kebaikan kepada kerajaan Kelantan itu sendiri,” tambahnya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.