Noraini Percaya Ramai Ahli Bersatu Akan Keluar Parti, Sokong BN
GUA MUSANG, 8 Ogos – Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad percaya ramai lagi ahli parti Bersatu akan meninggalkan parti itu dalam masa terdekat.
Menurut beliau, terdapat tanda-tanda jelas bahawa kepercayaan ahli-ahli Bersatu terhadap kepimpinan parti mereka semakin luntur.
“Saya percaya akan ada lagi yang akan membuat keputusan sama iaitu untuk keluar parti Bersatu seperti yang telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin parti tersebut baru-baru ini.
“Ini menunjukkan bahawa kepercayaan mereka terhadap kepimpinan Bersatu telah luntur dan merasakan bersama UMNO dalam Kerajaan Perpaduan dapat membantu masyarakat di sini. Dari segi ‘track record’, Alhamdulillah sememangnya UMNO melalui Barisan Nasional (BN) sentiasa berkerja keras untuk bantu rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Jerek, Nenggiri, semalam.
Pada masa yang sama, Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong meluahkan rasa syukur penerimaan masyarakat Nenggiri terhadap calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.
“Alhamdulillah… penerimaan masyarakat terhadap calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani amat baik, sambutannya begitu menggalakkan dan kita diterima baik oleh penduduk setempat dan kita harap nanti pengundi-pengundi dapat terjemahkan dengan mengundi BN.
“Saya menerima ‘feedback’ yang cukup baik dari pengundi dan jentera Wanita UMNO berkerja ‘non stop’. Semua jentera kita memberi bantuan termasuk jentera tempatan daripada Parlimen-parlimen dan bahagia- bahagian lain, juga daripada negeri-negeri lain yang berada dengan di DUN Nenggiri ini.
“Kerjasama daripada semua pihak, dapat memberi semangat dan membantu untuk memastikan kemenangan calon BN di DUN ini,” jelas beliau.
Terdahulu, Noraini bersama jentera Wanita UMNO telah membuat ziarah kasih. Beliau menyantuni pengundi dari rumah ke rumah, bertemu dan bertanya khabar serta meminta mereka untuk bersama dan mengundi BN pada 17 Ogos nanti.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 3 Ogos manakala undi awal ditetapkan pada 13 Ogos dan hari mengundi pada 17 Ogos.
Seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis. – UMNO Online