Mohd Rafi Gesa Amal 5S – Setia, Servis, Santun, Semangat, Solidariti Untuk Perkukuh UMNO

KALABAKAN, 8 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan menyeru anggota UMNO supaya mengamalkan konsep 5S iaitu setia, servis (khidmat), santun, semangat dan solidariti bagi perkukuhkan parti.

Katanya dalam keadaan parti kini menghadapi cabaran getir dari pihak lawan, pemimpin-pemimpin UMNO perlu terus menunjukkan kesetiaan dan kebersatuan selain mempunyai semangat kental bagi menghadapi tentangan musuh secara habis-habisan.

“Pemimpin UMNO perlu sentiasa bersemangat, jangan sesekali lemah walaupun diserang pihak lawan dari kiri dan kanan, lawan tetap lawan. Kesetiaan perlu ada kerana setia adalah asas kepada perjuangan,” katanya ketika menyampaikan ceramah pada siri jelajah Penerangan UMNO Malaysia bagi kawasan Parlimen Kalabakan dekat sini, baru-baru ini.

Program tersebut turut dihadiri oleh Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusuf dan dihadiri oleh barisan kepimpinan UMNO bahagian, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kalabakan.

Mohd Rafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan juga menekankan perlunya parti mempunyai lebih ramai pemimpin dan calon pemimpin yang memiliki kriteria mudah disenangi serta boleh menyesuaikan diri dengan rakyat dan persekitaran bagi memastikan parti itu dapat meraih kemenangan dalam pilihan raya akan datang.

“Bagi rakyat, adalah penting untuk mempunyai pemimpin yang boleh membantu mereka dalam apa jua keadaan tanpa mengira masa terutamanya ketika ditimpa bencana.

“Bagaimana kita mahu disenangi (likeable) dan kita perlu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dalam apa jua keadaan.

“Kalau UMNO berjaya tonjolkan pemimpin dan bakal calon yang mempunyai ciri-ciri seperti ini, maka peratusan UMNO/BN untuk menang adalah lebih tinggi,” katanya.

Sehubungan itu beliau mengingatkan sesiapa sahaja yang berkeinginan untuk menjadi calon perlu menonjolkan diri dan melaksanakan kerja-kerja sebagai seorang yang berkerja, mudah dikenali dan didekati rakyat.

Dalam pada itu Mohd Rafi berkata kepimpinan UMNO Bahagian perlu memanfaatkan media sosial seperti Facebook, TikTok, Instagram dan apa-apa juga media baharu sebagai platfrom untuk menampilkan diri melalui program-program yang diadakan oleh parti.

“Tidak sekadar memuat naik program perbadi pemimpin tapi dalam masa yang sama cari dan angkat masalah rakyat agar pihak yang berwajib mengetahui dan mengambil tindakan susulan,” katanya.

Beliau menambah penggunaan media sosial bukan hanya untuk kepimpinan bahagian seperti program ketua bahagian sahaja tetapi ahli di peringkat akar umbi juga perlu memainkan peranan dengan menyebarluaskannya, agar lebih ramai ahli dan masyarakat umum mengetahui program yang telah dilaksanakan oleh kepimpinan bahagian. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.