Awie Boleh Jadi Suara Untuk Nenggiri, Semak Dan Imbang DUN Kelantan – Hairi
GUA MUSANG, 8 Ogos – Naib Ketua Pemuda UMNO, Hairi Mad Shah mengharapkan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menyatakan sokongan mereka kepada calon anak muda yang diketengahkan parti itu, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang dianggap mempunyai pakej lengkap sebagai wakil rakyat.
Bagi beliau yang seangkatan dengan Azmawi atau lebih dikenali Awie dalam Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, calon Barisan Nasional (BN) itu boleh dijadikan wakil yang akan berkhidmat untuk masyarakat DUN Nenggiri kelak jika diberikan kepercayaan pada 17 Ogos nanti.
“Sesungguhnya kemenangan itu akan memberikan semak dan imbang yang lebih kuat kepada kerajaan di bawah pentadbiran Pas Kelantan sekalipun kita sedia maklum bahawa kerajaan tidak akan boleh berubah dan begitu juga kerajaan negeri tidak akan boleh bertukar.
“Saya percaya apabila memberikan amanah atau kemenangan kepada saudara Awie nanti ianya akan memberikan semak dan imbang yang lebih kuat daripada pembangkang.
“Hasilnya sudah pasti kerajaan itu peka apa yang suara rakyat mahukan di bawah, dan saya harapkan pengundi-pengundi di negeri khususnya orang muda datang pada 17 Ogos nanti untuk mengundi,” katanya kepada UMNO Online.
Pada masa yang sama Hairi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin turut berkongsi suasana kempen yang dianggapnya cukup baik dan berharap momentum yang ada terus meningkat sehinggalah ke hari pembuangan undi nanti.
“Saya turun bersama jentera Pemuda dan jentera tempatan yang ada di sini untuk membantu dan dapat lihat berapa jauh dan berapa rapat saudara Awie dengan masyarakat di sini.
“Alhamdulillah… saya rasa cukup bangga apabila saudara Awie cukup dikenali oleh rakyat di Nenggiri ini. Apa pun jangan lupa pada 17 Ogos nanti… calon ini, Awie adalah calon yang berkhidmat sekian lama untuk masyarakat,” ujarnya lagi. – UMNO Online