Alhamdulillah… Saya Akan Terus Lipat Gandakan Lagi Usaha Kempen – Awie

GUA MUSANG, 8 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani bertekad akan terus berjumpa dengan seramai mungkin pengundi di kawasan berkenaan dalam tempoh kempennya.

Bagi beliau pendekatan berkenaan selain kepelbagaian kempen yang akan diteruskan serta dipergiatkan lagi dalam usaha memastikan penduduk serta masyarakat di DUN Nenggiri membuat pilihan tepat dengan mengundi BN pada hari pengundian nanti.

“Alhamdulilah… setakat ini dah pergi semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan pusingan pertama boleh dianggap selesai, kini memasuki pusingan kedua saya akan terus lipatgandakan lagi usaha,” katanya di PDM Jeram Tekoh di sini, semalam.

Turut serta Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin serta jentera tempatan yang lain bersama penduduk setempat.

Azmawi atau lebih dikenali panggilan ‘Awie’ seterusnya menambah kepelbagaian strategi pada pusingan kedua ini adalah tertakluk kepada keadaan semasa.

“Soal strategi dan sebagainya kita perlu berpijak di bumi nyata dan akan jumpa seramai mungkin… lipat gandakan lagi jumpa pengundi. Begitu juga kempen menerusi media sosial dan sebagainya, insya-Allah akan terus dipergiatkan,” ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 3 Ogos manakala undi awal ditetapkan pada 13 Ogos dan hari mengundi pada 17 Ogos. – UMNO Online

 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.