PRK Nenggiri: UMNO/BN Tekad Tebus Kekalahan Pilihan Raya Lalu – Ahmad Zahid

GUA MUSANG, 29 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengharapkan jentera UMNO/BN terus berkerja kuat dan menebus kembali kekalahan dengan memastikan kemenangan berpihak pada BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menjelaskan walaupun pada pilihan raya lalu BN tewas dengan majoriti 810 undi namun berbagai-bagai usaha boleh dilakukan bagi memastikan kemenangan BN kali ini.

“Kita tebus kembali dengan kekalahan majoriti 810 undi, sebenarnya banyak usaha yang boleh kita lakukan untuk memberikan kemenangan pada calon BN, mungkin ketika itu terlepas pandang, mungkin ketika itu ada beberapa kekurangan tidak dapat laksanakan.

“Setakat ini saya melihat semangat kita cukup tinggi dan tanda-tanda kemenangan juga sudah kelihatan, besar harapan saya ianya menjadi kenyataan. Jentera BN dapat mengatasi segala permasalahan dan akan pergi kesemua tempat yang dapat memberikan undi kepada kita dan akan memberikan bantuan asalkan tidak menyalahi pilihan raya.

“Saya lihat semangat jentera BN ini sangat luar biasa. Kita kombinasikan semuanya selama 14 hari ini bagi memperoleh kemenangan dan Insya-Allah dengan kemenangan ini adalah hadiah untuk YM Tengku Razaleigh Hamzah,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN, di Balai Rakyat Dewan Bukit Cekati di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Operasi Pilihan Raya Negeri Kelantan merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Ahmad Jazlan Yaakob; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh; Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, kepimpinan UMNO Pusat, Negeri serta jentera parti.

Seterusnya Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menegaskan calon BN bagi DUN Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dipilih kerana memenuhi kriteria dan ciri ‘winnable’ (boleh menang), ‘acceptable’ (diterima) serta ‘likeable’ (disenangi) iaitu WALI selain menjadi pilihan Tengku Razaleigh.

“Sebaik menerima senarai nama berkenaan, saya membuat risikan siapa yang menjadi pilihan Tengku Razaleigh dan saya dapati pilihannya adalah Mohd Azmawi. Keputusan dibuat bukan semata-mata Mohd Azmawi menjadi pilihan Ku Li, sebaliknya beliau adalah Ketua Pemuda UMNO Negeri Kelantan merangkap Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang itu juga memenuhi ciri ‘WALI’.

“Alhamdulillah, calon sudah kita umumkan, jentera pilihan raya juga sudah dilancarkan dan kini seluruh jentera perlu bekerja keras bagi memastikan kemenangan kerusi DUN Nenggiri,” katanya lagi.

Pada masa yang sama Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk memberi jaminan bahawa Nenggiri akan terus berubah wajah dalam tempoh setahun, sekiranya pengundi memberi mandat kepada BN.

Tegasnya, sekiranya BN memenangi Nenggiri, parti akan membantu Mohd Azmawi Fikri bagi merealisasikan impian rakyat Nenggiri.

“Kenapa saya berani berjanji? Kerana kerajaan adalah milik kita dan kita tidak mahu wakil rakyat yang tidak sehaluan dengan kerajaan dan perkara ini sangat penting. Calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani akan merealisasikan perkara tersebut. 

“Setakat ini di Kelantan, kita hanya mempunyai dua wakil rakyat iaitu DUN Kota Lama yang diwakili Pakatan Harapan (PH) dan DUN Galas yang mewakili BN. Jadi, kita mahu menambah satu lagi kerusi yang akan dihantar di DUN Kelantan. Paling penting kita perlu menebus dan mengembalikan semula kerusi DUN Nenggiri.

“Rugi sekiranya orang Nenggiri tidak pilih BN kerana ini adalah keuntungan demi masa depan mereka,” ujarnya. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit