Mantapkan Jentera Penerangan, Aplikasi Media Sosial Untuk Jangkau Pengundi – Mohd Rafi

GERIK, 10 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan menegaskan jentera-jentera penerangan perlu diperkasakan dan dimantapkan dalam pelbagai peringkat untuk terus memperkukuh parti.

Jelasnya, dalam hal ini penggunaan media sosial dalam kalangan jentera penerangan UMNO perlu diaplikasi dengan semaksimumnya.

Ini kerana katanya, kekalahan UMNO dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu antaranya adalah berpunca daripada fitnah yang ditaburkan di media sosial untuk melemahkan dan memburukkan parti terutama sekali mengelirukan pengundi-pengundi muda.

“Keputusan pilihan raya jelas menunjukkan majoriti saluran kita kalah kerana terpengaruh dengan media sosial.

“Untuk kita dekati pengundi muda, Pemuda dan Puteri UMNO tidak lain tidak bukan tentunya dengan menggunakan gajet sama ada platform Facebook, platform Tiktok ataupun Instagram yang banyak digunakan oleh mereka.”

Jelasnya, penggunaan media sosial akan dapat menjangkau pengundi-pengundi secara langsung dengan ditingkatkan aplikasinya sepanjang tempoh yang ada sekarang.

“Maksimum dalam masa lima tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat atau pemimpin setempat hanya 30 ataupun 40 peratus itu paling maksimum mereka dapat santuni dan beri bantuan secara terus.

“Yang panggil ceramah, pasti mereka datang tetapi untuk menjangkau pengundi di satu-satu kawasan tanpa bertemu secara langsung adalah dengan menggunakan gajet.”

Kerana itu katanya, semua anggota parti khususnya jentera penerangan UMNO diseru supaya meningkatkan penggunaan media sosial secara menyeluruh.

Ujarnya, hal ini kerana pengundi-pengundi meletakkan undian mereka bersasar kepada calon yang mereka kenali, bukan lagi terhadap parti sama ada yang mempunyai jasa atau tidak.

“Trend yang berlaku di Sabah kemungkinan besar akan berlaku di Semenanjung dimana rakyat tidak akan menjadikan parti sebagai keutamaan tetapi calon pada pilihan-pilihan raya yang akan datang.

“Gerik adalah kawasan tumpuan yang akan menyumbang kemenangan UMNO pada PRU ke-16 dan kedua-dua DUN adalah milik UMNO yang kita perlu tebus kekalahan, maka marilah kita tebus maruah kita dengan mengaplikasikan penggunaan media sosial dari sekarang,” katanya lagi.

Mohd Rafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan berkata demikian ketika memberikan ceramah sempena siri Jelajah Penerangan UMNO Malaysia di Bahagian Gerik pada Sabtu.

Jelajah terbabit adalah siri turun padang di bawah Penerangan UMNO Malaysia yang diketuai oleh Datuk Seri Azalina Othman Said dengan gerak kerja ke kawasan-kawasan tumpuan bagi mengaktifkan komunikasi pelbagai peringkat dilaksana. – UMNO Online

Oleh: Amira Malik

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.