Lokman Noor Adam Gesa Kukuhkan Perpaduan Untuk Pastikan UMNO Kembali Kuat

KANGAR, 7 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menggesa ahli-ahli UMNO untuk memperkukuh perpaduan dan bersatu agar parti kembali kuat.

Katanya, kesempatan yang ada sekarang ini adalah masa terbaik untuk ahli-ahli kembali bersatu dan memastikan UMNO dapat meneruskan perjuangan untuk masa hadapan agama, bangsa dan negara.

“Kita nak perkuat kembali parti, nak bersatu dan kita nak jawab isu-isu yang ada dalam masyarakat. Sekarang ini isu UMNO-Dap masih banyak dimainkan kerana bayangkan kita selama 58 tahun berlawan dengan Dap dan tiba-tiba kita diminta oleh kepimpinan kita untuk bekerjasama dengan Dap.

“Pembentukan kerajaan campuran antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) ini khasnya UMNO amat mengejutkan rakyat dan pengundi. Buat kali pertamanya UMNO menjalinkan kerjasama dengan PH yang terdapat Dap sedangkan sebelum ini mereka adalah musuh politik kita.

“Perlu diingat bahawa kita berpakat bersama musuh-musuh politik demi masa depan rakyat dan negara. Selepas Perikatan Nasional (PN) menolak cadangan Tuanku Yang di-Pertuan Agong maka titah Tuanku ialah UMNO bekerjasama dengan PH, Presiden UMNO membawa titah ini dibincang dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO,” katanya.

Tegas beliau sekiranya PN mengutamakan kepentingan bangsa Melayu/Islam maka tentunya tidak menolak cadangan tersebut tetapi sebaliknya yang berlaku.

“Mereka (PN) dah berpeluang untuk jadikan kerajaan Malaysia 156 orang yang akan membentuk kerajaan iaitu lebih 2/3 adalah orang Islam/Melayu tapi malangnya ditolak.”

Jelas Lokman, hasil kejayaan rundingan dan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan hari ini membolehkan UMNO dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, manakala beberapa pemimpin kanan parti dilantik menjadi menteri penuh serta timbalan menteri di beberapa kementerian.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Program Jelajah Penerangan UMNO melibatkan anggota UMNO Bahagian Kangar, di sini, semalam.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya; Setiausaha Penerangan UMNO, Datuk Suraya Yaacob; dan kepimpinan Penerangan UMNO bahagian tersebut.

Dilaporkan Jelajah Penerangan UMNO yang dicetuskan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said digerakkan turun ke kawasan-kawasan tumpuan bagi memastikan pelbagai isu dapat diberikan penerangan kepada rakyat pelbagai peringkat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit