Calon DUN Nenggiri Akan Dimuktamadkan Dalam Masa Terdekat- Ahmad Zahid

JELI, 6 Julai – UMNO akan memuktamadkan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri minggu depan.

Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau sudah menerima senarai pendek individu yang boleh diangkat sebagai calon oleh UMNO Bahagian Gua Musang.

“Saya menghargai surat yang telah diutuskan oleh Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

“Senarai ini saya akan bawa ke peringkat biro politik untuk dibentangkan dan kemudian diputuskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jeli di Bukit Bunga, di sini Jumaat.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, UMNO akan memilih calon yang mempunyai kriteria ‘WALI’ untuk mewakili Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Gua Musang pada 17 Ogos depan.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN menambah kriteria ‘WALI’ itu merujuk kepada Winnability (boleh menang), Acceptability (kebolehterimaan) dan Likeability (disenangi).

“Calon UMNO yang akan bertanding di DUN Nenggiri mesti mempunyai kriteria ‘WALI’. Ia merujuk kepada Winnability (boleh menang), Acceptability (kebolehterimaan) dan Likeability (disenangi),” katanya lagi.

Tegas beliau, BN tidak mengambil mudah PRK Nenggiri sebaliknya akan terus mendekati kumpulan-kumpulan yang tidak keluar mengundi pada pilihan raya yang lalu.

“Saya yakin BN mampu merampas semula kerusi itu pada PRK nanti. Kita hanya tewas dengan majoriti 810 undi sahaja.

“Situasi ketika ini sudah berubah dan saya yakin BN boleh menang. DUN Nenggiri merupakan kerusi BN dan kita akan terus bekerja keras untuk menang,” ujarnya.

Sementara itu di sebelah malam Ahmad Zahid turut merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Pasir Puteh. 

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh Datuk Zawawi Othman, Setiausaha Agung merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian, UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob, Timbalan BPUN Kelantan, Tan Sri Fatmi Saleh dan kepimpinan UMNO Bahagian dan ahli parti. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.