Isu Bossku… Nazifuddin Harap Sokongan Parti Selari Semua Peringkat, Kesatuan UMNO Amat Penting

LANGKAWI, 5 Julai – Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib menzahirkan dukacita lantaran isu berkaitan Bossku selaku bekas Presiden UMNO dan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak masih berlarutan dan terbaharu gagal mulakan semakan kehakiman cabar titah Adendum.

Katanya, dalam semua sayap dan Cawangan UMNO telah mengusulkan agar isu Bossku diselesaikan.

Terdahulu, dilaporkan pada Rabu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berhubung kewujudan Titah Adendum (perintah tambahan) Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya beliau menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Ujar Nazifuddin yang juga anak ketiga Najib, keputusan ini menyebabkan beliau sekeluarga berasa kecewa.

“Kita perlu bersuara senada. Kesatuan UMNO amat penting. Hari ini kita sekeluarga kecewa dengan apa yang diputuskan mahkamah. Harap kita sebagai satu parti boleh bersama terus perjuangkan untuk keadilan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan anggota parti sempena Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Langkawi yang diadakan pada Rabu.

Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin bersama ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Langkawi.

Jelas Nazifuddin, kepimpinan UMNO di semua peringkat perlu memainkan peranan dan bersuara selari dalam satu-satu isu atau perkara.

“Semua pihak, peringkat pusat, negeri dan sebagainya perlu main peranan dan bersama laksanakan, ada isu disambut bersama dan dilakukan secara berterusan agar berkesan. Misalnya di Langkawi, isu air dan pelancongan, kita nak sambutan berkaitan isu ini secara menyeluruh.

“Kita perlu satu isu di mana semua ahli UMNO boleh bersama, laksana perjuangan selari antara bahagian, negeri dan pusat. Kita perlu tunjukkan bahawa kita benar-benar bersama.”

Kata beliau, kesepakatan dan gerakan kesatuan UMNO amat berkesan dan telah dibuktikan dalam pelbagai perkara.

“Kita dah buktikan bagaimana dulu kita nak merdeka maka digerakkan di semua peringkat maka kita berjaya laksanakan. UMNO ini adalah sebuah parti yang berpegang pada janji, apabila kita berjanji maka kita akan tunaikan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.