Jelajah Penerangan UMNO: Ahli Perlu Diberikan Maklumat Tepat, Elak Kesalahfahaman

KLUANG, 3 Julai – Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Abdul Ghani Abdul Rashid berpandangan ahli perlu sentiasa diberikan maklumat yang tepat untuk mengelakkan kesalahfahaman berhubung beberapa isu berkaitan parti dan semasa.

Katanya, penjelasan dan penerangan daripada pimpinan pusat secara terus kepada kepimpinan di peringkat akar umbi juga penting agar mereka dapat menyusun gerak kerja selari dengan kehendak parti.

“Pemimpin-pemimpin di peringkat bawah perlu juga kita sampaikan maklumat-maklumat ini kerana sangat penting supaya mereka tidak salah faham.

“Sekarang ini apa yang berlaku ialah salah faham dan maklumat yang tidak mencukupi untuk mereka menghadamkan isu-isu ini. Jadi apabila datang isu-isu yang tidak kita terangkan kepada mereka, jadi mereka beranggapan itulah ia. Selepas itu mungkin tindakan-tindakan akan berlaku kesilapan.

“Apabila kita telah turun, terangkan isu sebenar dan mereka memahami apa isunya, melihat kepada pimpinan di peringkat tertinggi yang menerangkan isu kepada mereka, jadi keyakinan itu ada untuk mereka dan ini menjadi galakan, semangat untuk mereka meneruskan gerak kerja-gerak kerja yang akan diarahkan oleh parti untuk masa akan datang,” katanya kepada UMNO Online.

Abdul Ghani ditemui selepas program Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Sembrong pada hujung minggu lalu di Dewan Dato’ Onn, Rumah Komuniti Parlimen Sembrong di sini.

Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Sembrong yang dihadiri ahli-ahli jawatankuasa UMNO bahagian empat peringkat, ketua-ketua cawangan dan sayap serta ketua-ketua penerangan cawangan itu menampilkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai penceramah utama.

Berhubung dengan penganjuran siri jelajah itu, Abdul Ghani bersyukur kerana ia memberi manfaat kepada pemimpin di akar umbi dan seterusnya sebagai bekalan bagi menyusun atur gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Saya percaya program ini akan menjadi satu penanda aras untuk bahagian-bahagian bekerja dengan lebih baik terutamanya dalam kita hendak menghadapi siri-siri PRU, terutama PRU-16 akan datang.

“Dan keyakinan itu tinggi sebenarnya terutama parti UMNO untuk kita mendapat balik kepercayaan rakyat memberikan mandat kepada kita dalam PRU akan datang,” katanya lagi.

Selanjutnya, Abdul Ghani berkata hasil dapatan daripada jelajah tersebut, UMNO Bahagian Sembrong selepas ini akan turun ke peringkat zon, cawangan dan sayap-sayap

“Selepas ini saya boleh turun ke cawangan-cawangan, zon, sayap untuk kita mengadakan program-program yang sama seperti ini supaya isu-isu dapat kita jelaskan dengan lebih baik.

“…dan lebih penting kesinambungan ini akan sampai ke PRU-16 nanti supaya tidak terhenti sekerat jalan, ‘movement’ ini terus bergerak dan rasa tanggungjawab dan semangat untuk menggerakkan parti ini akan berterusan,” ujarnya.

Siri Jelajah Penerangan UMNO ini telah berlangsung dengan jaya di beberapa bahagian di Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Sabah, Perak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan manakala Sembrong menjadi bahagian pertama bagi negeri Johor.

Program jelajah ini dicetuskan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Seri Azalina Othman Said bagi memberi penerangan berkaitan isu-isu semasa untuk manfaat ahli-ahli akar umbi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.