Jelajah Penerangan UMNO Ke Padang Rengas, Tumpu Pencerahan Isu Semasa

PADANG RENGAS, 30 Jun – Siri Jelajah Penerangan UMNO Malaysia meneruskan gerak kerjanya hari ini ke UMNO Bahagian Padang Rengas.

Bertempat di Dewan Serbaguna JPS Kuala Kangsar, program tersebut dilaksana tertib dengan dimulakan nyanyian lagu UMNO, ‘Bersatu, Bersetia Berkhidmat’ diikuti bacaan doa

Majlis kemudian bermula dengan perkongsian hala tuju Penerangan UMNO oleh Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaacob kepada akar umbi bagi memberi pendedahan untuk pelaksanaan gerak kerja.

Seterusnya ia diteruskan dengan ucapan oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Mohd Arrif Abd Majid sebelum Majlis Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam mengambil bahagian dalam menyampaikan pelbagai pengisian yang mampu menambah pengetahuan isu semasa akar umbi.

Tinjauan UMNO Online mendapati rata-rata peserta yang ditemui meluahkan keterujaan mereka dengan pencerahan daripada program jelajah ini yang dicetuskan oleh Penerangan UMNO Malaysia yang diketuai Datuk Seri Azalina Othman Said

Menerusi program ini, penerangan berkaitan isu-isu semasa diaplikasi sebagai manfaat kepada ahli-ahli akar umbi agar dapat disampaikan informasi tepat di samping hala tuju UMNO untuk masa hadapan kepada semua anggota parti.

Selain itu, anggota penerangan parti juga diangkat menjadi perisai bagi semua ahli dan pendukung parti untuk menangkis pelbagai dakwaan buruk, tohmahan negatif dan fitnah yang dilemparkan pihak lawan.

Untuk rekod, Majlis Pelancaran Jelajah Penerangan UMNO ini telah berlangsung pada 14 Mei lalu dengan disempurnakan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Ibu Pejabat UMNO.

Antara negeri yang disinggahi Jelajah Penerangan UMNO adalah Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Sabah, Perak, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Johor. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit