Jelajah Penerangan Mampu Yakinkan Akar Umbi UMNO Tidak Pernah Lari Daripada Prinsip Perjuangan

BUKIT GANTANG, 24 Jun – Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berpendapat Jelajah Penerangan UMNO Malaysia merupakan antara satu medium terbaik dalam meyakinkan ahli di peringkat akar umbi mengenai keputusan parti dalam sesuatu perkara.

Katanya, sudah pasti setiap keputusan yang diambil oleh pucuk pimpinan UMNO akan diperhalusi dan dipastikan selaras dengan prinsip perjuangan parti.

“Ini program yang sangat baik terutamanya krisis utama yang dihadapi oleh UMNO ketika ini memberi keyakinan kembali kepada akar umbi di peringkat bawah tentang apa juga keputusan, tindakan dan langkah yang dibuat oleh kepimpinan parti.

“Melalui Jelajah Penerangan ini kita dapat mendekati semua pimpinan akar umbi menerangkan kenapa, kronologi dan rentetan atas semua tindakan yang dibuat majlis kepimpinan parti,” kata Sollehin yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia kepada UMNO Online.

Beliau ditemui selepas program Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Bukit Gantang yang menampilkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai penceramah utama.

Bertempat di Dewan UMNO Bahagian di sini, seawal jam 8.30 pagi Ahad, Jelajah Penerangan itu dihadiri hampir tiga ratus ahli akar umbi dan pendukung parti.

Tambah Sollehin lagi, beliau berharap agar program tersebut dapat diadakan dengan lebih banyak dan hasilnya disebar luas melalui platform media sosial.

“Cuma apa yang boleh ditambah baik insya-Allah lebih banyak program seperti ini dibuat dan semua video dapat disebarkan kepada akar umbi supaya mereka dapat maklumat terutama melalui media sosial.

“Paling penting, akar umbi perlu keyakinan kepada parti apa juga keputusan yang dibuat oleh parti tidak pernah mengabaikan prinsip perjuangan UMNO,” katanya.

Mengenai perancangan dan tindakan susulan, Sollehin berkata UMNO Bahagian telah mengadakan beberapa siri program penerangan di peringkat Cawangan.

“Insya-Allah kita memang mengadakan program penerangan di peringkat Cawangan dengan memberikan peruntukan khas kepada Ketua Penerangan UMNO Bahagian dan juga sayap-sayap untuk menerangkan apa juga isu yang berlaku dan tindakan kerajaan hari ini.

“Ditambah pula Kerajaan Negeri Perak di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar (Datuk Seri Saarani Mohamad) ada Pelan Perak Sejahtera 2030 yang juga menerangkan segala kemas kini terkini tentang pelan tindakan yang dibuat oleh kerajaan di bawah kepimpinan UMNO/Barisan Nasional (BN) di negeri Perak,” ujarnya.

Manakala berhubung kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Bukit Gantang, Sollehin berkata UMNO bahagian pada peringkat awal sudah bersiap sedia menghadapinya.

“Cuma yang paling penting kita hadapi PRK yang kemungkinan akan berlaku… saya boleh katakan persiapan kita masih di peringkat awal.

“Bagi saya untuk menggerakkan jentera dalam keadaan parti tidak mempunyai sebarang perpecahan, ia lebih mudah untuk dilaksanakan,” katanya yang yakin dengan kesetiaan ahli UMNO Bahagian Bukit Gantang setelah beliau berjaya menyatukan mereka pasca pemilihan parti pada tahun lepas.

Bukit Gantang merupakan lokasi kedua bagi negeri Perak yang mana sebelum ini telah diadakan untuk UMNO Bahagian Tapah. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.